[VIDEO] Bunga ganja bernilai RM3.6 juta diisytihar pakaian, barang permainan

A
A
A

PETALING JAYA – Tindakan licik dengan mengisytiharkan 36.091 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM3.6 juta sebagai buku, pakaian dan alatan permainan terbongkar dalam operasi di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 2 April lalu.

Pemeriksaan sebelum itu dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit I Kuala Lumpur mendapati terdapat beberapa butiran mencurigakan pada bungkusan mengandungi bunga ganja berkenaan.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati komoditi dadah dalam bentuk bunga ganja yang dibungkus dalam sejumlah bungkusan terbabit untuk dieksport ke beberapa lokasi di eropah.

"Pemeriksaan kira-kira jam 10.50 malam sebelum itu melibatkan sejumlah bungkusan yang telah diimbas dan menunjukkan imej menyerupai bahan organik.

"Siasatan lanjut kemudian menemui dadah jenis bunga ganja, dengan anggaran berat sebanyak 36.091 kilogram membabitkan nilal dianggarkan berjumlah RM3,567,595," katanya dalam sidang akhbar Kompleks JKDM Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Ahmad Taufik (dua dari kiri) menunjukkan bunga ganja yang dirampas di Pusat Mel dan Kurier, KLIA pada 2 April lalu.
Ahmad Taufik (dua dari kiri) menunjukkan bunga ganja yang dirampas di Pusat Mel dan Kurier, KLIA pada 2 April lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati bungkusan ini dihantar dari beberapa lokasi antaranya Pulau Pinang, Kuantan dan Lembah Klang.

"Kita percaya sumber dadah ini bukan dari dalam negara, sebaliknya ia dari luar berdasarkan operasi dijalankan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, semakan turut mendapati kesemua bungkusan mengandungi bunga ganja ini diikrar sebagai buku, pakaian dan alatan permainan bagi mengaburi pihak berkuasa," jelasnya.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati harga bunga ganja ini sekitar RM98,000 sekilogram berbanding harga ganja biasa sekitar RM3,200.

"JKDM sentiasa bekerjasama dengan pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam soal memutuskan sebarang rangkaian awal berkaitan penyeludupan dan pengedaran dadah ini.

"Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ahmad Taufik berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan Negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!