Kes Petronas mohon tangguh bicara saman Petros didengar 23 April ini

KUCHING – Permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menangguhkan perbicaraan saman difailkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuching pada 23 April ini.
Saman yang dikemukakan Petros pada Oktober tahun lalu bertujuan menghalang Petronas daripada menggunakan dana berjumlah RM7.95 juta yang diterima menerusi satu jaminan bank berkaitan pembekalan gas.
Petros berpendapat permintaan Petronas untuk mendapatkan bayaran itu adalah tidak wajar dan menyalahi undang-undang.
Petronas dalam permohonannya meminta perbicaraan kes ditangguhkan sementara menanti keputusan satu lagi kes berkaitan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membabitkan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd terhadap kedua-dua syarikat berkenaan.
Kes tersebut bertujuan menentukan pihak yang berhak menerima bayaran atas pembekalan gas.
Pada prosiding Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuching turut membenarkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak menyertai prosiding sebagai amici curiae atau sahabat mahkamah, sebagaimana dilaporkan Utusan Borneo.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Faridz Gohim Abdullah turut menangguhkan pendengaran substantif kes saman tersebut dan menetapkan 30 April sebagai tarikh akhir untuk kedua-dua kerajaan memfailkan hujahan bertulis berhubung pelbagai isu perlembagaan dan perundangan berkaitan.
Faridz Gohim berkata, beliau akan mendengar permohonan Petronas terlebih dahulu sebelum menetapkan tarikh baharu untuk perbicaraan substantif.
Dalam prosiding ini, Petronas diwakili peguam Alex Ngu manakala Sim Hui Chuang bertindak bagi pihak Petros.
Bekas Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk JC Fong mewakili kerajaan negeri, manakala Penasihat Undang-Undang Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly mewakili Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Petros masih mempunyai rayuan belum selesai di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Faridz Gohim sebelum ini yang enggan menghalang Petronas daripada menerima bayaran jaminan bank tersebut pada Oktober lalu.
Faridz Gohim dalam penghakimannya bertarikh 14 Januari menyatakan permohonan injunksi oleh Petros telah menjadi lewah, memandangkan Maybank Islamic Berhad telah pun melunaskan pembayaran kepada Petronas pada 18 Oktober 2024.
“Saya berpendapat permintaan untuk menghalang defendan (Petronas) daripada mendapatkan atau menerima bayaran jaminan bank ini telah menjadi lewah,” katanya dalam penghakiman tersebut.
Menurut beliau, permohonan Petros untuk menghalang penggunaan dana itu juga tidak berasas kerana wang yang telah diterima tidak boleh diasingkan daripada dana lain milik Petronas.
“Tambahan pula, saya cenderung bersetuju dengan hujah peguam defendan bahawa Petronas sebagai sebuah syarikat besar mampu membayar kembali dana tersebut sekiranya diarahkan oleh mahkamah,” jelas Faridz Gohim.
Petros memperoleh jaminan bank bagi jumlah RM7,955,208.28 pada 29 Disember 2023 sebagai sebahagian daripada pematuhan terma Perjanjian Jualan Gas Sarawak (SGSA) yang ditandatangani dengan Petronas.
Petronas pula pada 11 September 2024 menuntut bayaran RM17.42 juta daripada Petros bagi pembekalan gas, sebelum menambah tuntutan itu kepada RM28.13 juta menerusi surat bertarikh 4 Oktober 2024.
Petros memohon injunksi interim secara ex-parte pada 15 Oktober tahun lalu bagi menghalang Petronas menerima pembayaran di bawah jaminan bank, namun ditolak mahkamah enam hari kemudian atas alasan ia tidak lagi relevan kerana pembayaran telah dibuat.
Faridz Gohim juga menegaskan bahawa tiada persoalan serius untuk dibicarakan dan imbangan keselesaan memihak kepada Petronas.
Mahkamah akan membuat keputusan sama ada membenarkan penangguhan kes atau meneruskan perbicaraan substantif selepas mendengar permohonan Petronas pada 23 April nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!