Keputusan SPM diumumkan 24 April ini

SHAH ALAM - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan diumumkan pada 24 April 2025.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM 2024 daripada sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi pada tarikh tersebut.
Menurutnya, bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
"Sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM 2024 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur.
"Seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, calon sekolah dan persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah secara dalam talian.
"Mereka boleh melayari pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024.
"Kaedah kedua adalah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 dengan menaip SPM
"Kedua-dua sistem itu akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 24 April 2025 sehingga 6 petang pada 30 April 2025," ujarnya.
KPM turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon peperiksaan SPM 2024.
"Kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

