Tengku Zafrul ke Washington 24 April ini bincang isu tarif

KUALA LUMPUR - Washington menetapkan 24 April ini untuk mengadakan mesyuarat dengan delegasi negara bagi membincangkan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengesahan itu diterimanya daripada rakan sejawat melalui panggilan telefon pada malam Isnin lalu.
"Kita baru sahaja dapat pengesahan daripada Washington untuk bermesyuarat bersama dengan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) dan beberapa pegawai dari AS.
"Saya akan berlepas ke sana pada malam Isnin ini untuk bertemu dengan rakan sejawat selama dua hari. Kita akan ambil kesempatan ini untuk berjumpa dengan syarikat AS, agensi dan sebagainya.
"Di sana nanti kita akan terangkan mengenai situasi di Malaysia berdasarkan hasil perbincangan dengan kumpulan terlibat dan kita juga akan betulkan beberapa kenyataan yang mungkin tidak jelas serta nyatakan pendirian kita," katanya ketika temu bual bersama media tempatan di pejabatnya di sini, pada Rabu.
Tengku Zafrul minggu lalu memaklumkan beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington hujung bulan ini untuk membincangkan tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS.
Beliau akan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa serta para pegawai lain dari kementerian tersebut.
Wakil MITI di Kedutaan Malaysia di Washington juga akan menyertai delegasi tersebut.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), Trump minggu lalu dilapor berkata, beliau telah mempertimbangkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik yang dikenakan ke atas rakan dagang negara itu 'sejak beberapa hari lalu' dengan memetik penglibatan diplomatik dan muhibah sebagai faktor di sebalik langkah tersebut.
Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama beliau menaikkan tarif AS ke atas import China kepada 125 peratus. Negara anggota wilayah Indochina ASEAN paling teruk terjejas akibat tarif AS, dengan Kemboja dikenakan tarif berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus).
Manakala Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia kedua-duanya 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia komited memilih perbincangan secara baik dan membina sambil terus melindungi kepentingan negara di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat akibat daripada pelaksanaan tarif yang diumumkan Presiden AS Donald Trump pada 2 April lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

