Harga baharu lebih untungkan pengilang

Laporan Sinar Harian berkaitan harga benih padi sah diselaras peringkat borong, runcit. (Gambar kecil:Mohd Ashraf)
Laporan Sinar Harian berkaitan harga benih padi sah diselaras peringkat borong, runcit. (Gambar kecil:Mohd Ashraf)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan digesa menyemak semula struktur harga benih padi yang disifatkan tidak lagi selari dengan keperluan dan kebajikan pesawah.

Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, penetapan harga benih padi ketika ini lebih menguntungkan pihak pengilang berbanding pesawah yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup serta input pertanian.

Menurutnya, sebuah Jawatankuasa Pemantauan Kos Input Pesawah di peringkat nasional perlu diwujudkan dengan penglibatan wakil pesawah bagi memastikan kebajikan golongan itu terbela.

“Penetapan harga benih padi perlu selaras dan sepadan dengan kadar kenaikan harga lantai belian padi.

“Struktur harga benih padi mesti disemak agar ia berpaksikan margin keuntungan pesawah, bukan pengilang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh itu, harga benih padi yang sewajarnya ialah tidak melebihi RM43 bagi setiap 20 kilogram (kg).

“Sebagai perbandingan, ketika harga lantai belian padi RM1,200 per tan, harga benih padi ditetapkan pada RM35 bagi setiap 20 kilo (sekampit).

“Dengan harga lantai semasa yang meningkat kepada RM1,500 per tan, harga benih padi sepatutnya ialah tidak melebihi RM43 setiap 20 kilo,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ashraf Mustaqim berkata, ‘budaya dasar kosmetik’ dalam pentadbiran perlu dihentikan segera kerana ia sekadar menutup kegagalan dasar kerajaan yang tidak menyelesaikan masalah rakyat.

“Cukup-cukuplah memperbodohkan pesawah dengan angka kecil demi menutup kegagalan besar. Jangan sampai kerajaan ini dikenang sebagai lebih menjaga untung tauke daripada keringat orang bendang,” ujarnya.

Menurutnya, apa yang dilakukan kerajaan bukannya reformasi pertanian, sebaliknya eksploitasi pesawah.

Tambah Mohd Ashraf Mustaqim, pengumuman kerajaan digambarkan seolah-olah inisiatif membela pesawah, namun jauh tersasar daripada situasi sebenar, malah tidak lebih sekadar gimik untuk menutup kegagalan kerajaan memahami keperitan pesawah.

“Selepas penarikan subsidi diesel, pesawah menanggung beban kenaikan kos pelbagai dalam proses penghasilan padi yang sehingga kini masih tidak mampu mengimbangi nilai keuntungan pesawah yang tidak seberapa.

“Harga benih padi naik 65.7 peratus (RM35 kepada RM58), tetapi harga lantai belian padi hanya naik 25 peratus (RM1,200 kepada RM1,500). Terbaharu, harga benih padi hanya turun 3.45 peratus (RM2) daripada lonjakan asal RM23,” jelasnya.

Katanya, jurang keuntungan pengilang dan pemborong benih jauh lebih besar daripada margin pendapatan pesawah.

“Dengan 1 tan metrik benih padi mampu menghasilkan sekitar 50 kampit (20kg), nilai jualan benih pada harga RM56 kini cecah RM2,800 per tan berbanding harga lantai belian padi RM1,500 per tan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!