Lebih 22,000 hektar sawah padi terbiar di Sabah dibangunkan semula

KOTA KINABALU - Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) kini giat membangunkan semula 22,146 hektar kawasan sawah terbiar di negeri ini, demikian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dimaklumkan hari ini.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Peto Galim berkata, Kota Belud mencatatkan keluasan sawah terbiar tertinggi dengan 8,652 hektar, diikuti Kota Marudu (3,132 hektar), Keningau (3,514 hektar), Tuaran (2,514 hektar), Papar (2,270 hektar), dan Tambunan (2,064 hektar).
Beliau berkata, sawah di kawasan berkenaan didapati terbiar kerana tidak mempunyai sistem pengairan berkesan dan LPBS sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kawasan terbabit dapat kembali berfungsi sebagai pembekal padi dan beras di Sabah.
"Bagi memastikan kelancaran pembangunan dan pengurusan padi di enam daerah tersebut jawatankuasa pembangunan dan pengurusan padi telah ditubuhkan di setiap daerah terlibat, yang dipengerusikan oleh ahli lembaga pengarah LPBS.
"Kementerian saya melalui Jabatan Pertanian Sabah juga menyediakan latihan teknologi pertanian dalam usaha meningkatkan kemahiran dan kecekapkan petani bagi tingkatkan penghasilan pertanian tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Annuar Ayub (GRS-Liawan) yang ingin tahu inisiatif Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha meningkatkan hasil pertanian tempatan.
Sementara itu, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi ketika menjawab soalan lisan Calvin Chong (PH-Elopura) tentang usaha membantu pelajar sekolah menengah di Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM125 juta tahun ini bagi pemberian biasiswa melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).
Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM113.17 juta pada tahun sebelumnya.
"Ini usaha kerajaan negeri menaja lebih ramai anak Sabah melanjutkan pegajian ke insitusi pengajian tinggi (IPT) di dalam serta luar negara dalam pelbagai bidang, dengan bidang keutamaan adalah STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga melaksanakan bantuan sekali bayar menerusi Bantuan Pendidikan Kerajaan Negeri Sabah (BUDI) bagi membantu kemasukan anak Sabah ke IPT, dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) iaitu pemberian komputer riba secara percuma kepada pelajar memerlukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!