Pensyarah, pesara rugi lebih RM551,000 terperdaya skim pelaburan tidak wujud

KUANTAN - Dua individu termasuk seorang pensyarah dan pesara wanita kerugian lebih RM551,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan melalui platform media sosial.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes pertama melibatkan seorang pensyarah lelaki berusia 43 tahun dengan jumlah kerugian RM240,000.
Menurutnya, mangsa diperdaya suspek yang dikenali melalui Facebook pada 10 Mac lalu apabila ditawarkan pelaburan saham itu.
"Mangsa yang berminat diminta mendaftar menerusi pautan yang diberikan. Mangsa telah membuat tiga pelaburan berjumlah kira-kira RM7,000 dan menerima pulangan keuntungan sebanyak RM3,000," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Yahaya berkata, yakin dengan jaminan pulangan diterima, mangsa menambah pelaburan melalui enam transaksi bayaran ke empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM240,000 menggunakan wang simpanannya sendiri.
"Mangsa kemudiannya dimaklumkan akaun pelaburannya untung mencecah RM1 juta, namun tidak dapat mengeluarkan wang tersebut kononnya kerana terlupa kata laluan.
"Suspek meminta bayaran tambahan RM250,000 untuk mendapatkan kata laluan baharu. RM220,000 kononnya akan dibayar suspek manakala mangsa hanya perlu membayar RM30,000," katanya.
Beliau berkata, mangsa syak ditipu selepas mendapati urusan pengeluaran wang tersebut tidak dapat dilakukan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pesara wanita berusia 66 tahun rugi RM311,998 selepas terpedaya dengan iklan pelaburan saham di aplikasi TikTok pada 11 November tahun lalu.
Yahaya berkata, mangsa dihubungkan ke aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan sebelum diminta memuat turun satu aplikasi pelaburan menerusi pautan yang diberi suspek.
"Tertarik dengan pulangan lumayan dijanjikan, wanita itu membuat pelaburan menggunakan wang simpanan RM311,998 melalui 16 transaksi bayaran ke enam akaun bank berbeza dalam tempoh 5 Januari hingga 15 April lalu.
“Selepas bayaran dibuat, mangsa syak telah ditipu apabila aplikasi pelaburan berkenaan tidak dapat diakses sebaliknya dia diminta membuat bayaran tambahan RM50,741 kononnya bagi melepaskan kawalan risiko bank,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
"Semak nombor akaun bank yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!