[VIDEO] 'Saya serah nasib di tangan ALLAH SWT, sistem kehakiman negara' - Syed Saddiq
PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletakkan keyakinan keputusan prosiding kes rayuan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada kekuasaan ALLAH SWT, sistem kehakiman dan perundangan negara.
Beliau berkata, urusan prosiding berkenaan diharap berjalan dengan lancar memandangkan ia sudah mengambil masa lebih kurang lima tahun.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan juga kepada orang ramai tidak putus memberikan doa dan solidariti.
“Saya terhutang budi pada semua. Insya-ALLAH pada hari ini semua akan berjalan dengan baik.
“Saya meletakkan nasib saya di tangan ALLAH SWT, sistem kehakiman dan perundangan negara yang saya hormati,” katanya dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Rayuan i sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengucapkan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Isnin.
Syed Saddiq turut mengenang sumbangan dan jasa bakti Allahyarham Tun Abdullah dalam pembangunan negara termasuk reformasi yang beliau berjaya bawa pada sistem perundangan di negara ini.
"Sebagai ahli politik, saya rasa berharap kita semua dapat memiliki kesedaran moral dan nilai integriti seperti Allahyarham Tun Abdullah," ujarnya.
Pada Khamis pagi, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu tiba kira-kira jam 8.20 pagi dan dilihat bersemangat sambil ditemani keluarganya.
Turut hadir, selebriti yang juga rakan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Bella Astillah yang lengkap berpakaian baju kurung bagi memberikan sokongan kepada beliau.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 19 dan 20 Mac bagi prosiding pendengaran rayuan Syed Saddiq, 33, bagi kes berkenaan.
Bagaimanapun selepas dua hari hujahan, prosiding ditangguhkan pada Khamis selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan tidak dapat meneruskan hujahan kerana mengalami sakit tekak.
Beliau sebelum ini disabitkan dengan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Armada.
Syed Saddiq berdepan empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Kes berkenaan berkemungkinan akan diputuskan selepas hujahan di Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berlangsung pada hari ini.
Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, di mana sekiranya didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, jika panel hakim mendapati keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan, maka beliau akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!