ADUN Warisan cadang kerajaan salur peruntukan galak rakyat turun mengundi

KOTA KINABALU - Kerajaan dicadang supaya menyalurkan peruntukan kepada pengundi sebagai galakan untuk mereka keluar menunaikan tanggungjawab semasa pilihan raya diadakan.
Cadangan itu dikemukakan oleh Assaffal P Alian (Warisan-Tungku) ketika membahaskan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.
Dalam ucapannya, beliau menyentuh isu berkaitan dana politik yang didakwa sering menjadi perhatian setiap kali musim pilihan raya berlangsung.
"Saya mencadangkan satu lagi pembaharuan atau reformasi yang harus dibuat berkaitan dana politik pilihan raya. Kita tahu bahawa pilihan raya biasanya macam satu pesta bagi pengundi-pengundi di Malaysia, pergi ke sana dapat ini, pergi ke sini dapat itu.
"Pilihan raya ini adalah hak rakyat yang dijamin dalam Perlembagaan dan ia harus menggambarkan suara rakyat yang dinyatakan di peti undi, namun saya risau kadangkala peratusan keluar mengundi hanya tinggal 55 peratus dan apabila 55 peratus itu dibahagi, sudah tentulah yang menang itu tidak menggambarkan suara majoriti dalam kawasan tersebut.
"Jadi kalau boleh, kita mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan mengenai dana politik, iaitu mana-mana pilihan raya kerajaan harus mengeluarkan belanja kepada pengundi untuk turun mengundi," katanya.
Menurut beliau lagi, jika kerajaan mampu menyalurkan bantuan kewangan secara terus ke dalam akaun rakyat bagi tujuan lain, maka pendekatan yang sama juga boleh diguna pakai bagi tujuan pilihan raya.
Dalam pada itu, Assaffal turut berkongsi kisah peribadinya membesar di Sabah dan menzahirkan harapan agar generasi akan datang tidak perlu lagi berdepan kesusahan seperti yang pernah dilaluinya.
"Saya kini berumur 60 tahun, lahir di sebuah kampung, ke sekolah dengan berkaki ayam. Ada ketikanya kaki melecet disebabkan tanah pasir yang panas.
"Keluar dari kampung, saya dapat meneruskan pendidikan hingga ke sekolah berasrama penuh dan saya juga dapat pendidikan hingga ke peringkat tinggi. Saya berharap apa yang saya lalui hari ini tidak akan dilalui oleh generasi akan datang," katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kepada rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain supaya menyahut seruan untuk bersatu dan bersama-sama memikirkan soal Sabah di masa akan datang.
"Kalau kita asyik bertelingkah mempertahankan ego masing-masing hanya untuk mempertahankan kepentingan jawatan dan poket masing-masing, yang menjadi masalah adalah kepada generasi kita yang akan duduk di negeri ini, merekalah yang akan tanggung.
"Jadi mungkin pilihan raya kali ini akan menjadi satu 'reset' kepada politik kita di Sabah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!