ADUN Tronoh cadang laluan penerbangan Ipoh-Hatyai

IPOH - Laluan penerbangan Ipoh-Hatyai boleh dicadangkan kerajaan Perak kepada syarikat penerbangan yang berminat beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) sebagai laluan udara baharu yang diyakini mendapat sambutan ramai sama ada dari dalam dan luar negeri ini.
Perkara itu dikemukakan Steven Tiw Tee Siang (PH-Tronoh) ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis.
Menurutnya, dalam usaha memesatkan sektor pelancongan Perak, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) turut membantu dengan menaiktaraf LTSAS dan kerja-kerja naik taraf bagi fasa satu hampir siap sepenuhnya.
"Saya turut menerima info bahawa sebuah syarikat penerbangan yang terkemuka sedang mencari-cari laluan penerbangan yang baru dari LTSAS.
"Dengan itu, saya ingin mencadangkan laluan penerbangan yang baru iaitu Ipoh ke Hatyai dan Hatyai ke Ipoh yang tidak pernah ada sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang amat penting dalam menyumbang ekonomi negeri.
Susulan itu katanya, momentum Tahun Melawat Perak 2024 harus dikekalkan sehingga tahun 2027 yang merupakan Tahun Melawat Malaysia.
Dalam pada itu, Steven Tiw memaklumkan pihaknya bersama Persatuan Sukan dan Rekreasi Tronoh serta belia di kawasan tersebut telah bergabung mewujudkan Memory Lane @ Tronoh pada setiap bulan.
Katanya, pelaksanaan Memory Lane @ Tronoh sejak Oktober 2024 bertujuan menaikkan semula kegemilangan pekan koboi Tronoh yang dulu megah dan pesat semasa zaman perlombongan bijih timah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!