'Lagu tersebut sesuai dengan perasaan' - Ramli Sarip imbau kenangan bersama Pak Lah

PENYANYI Datuk Ramli Sarip berterima kasih kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana memberi kesempatan merakamkan lagu Ku Cari Damai Abadi yang liriknya merupakan puisi nukilan bekas Perdana Menteri kelima itu.
Ujar Ramli, 72, Allahyarham juga pernah memaklumkan lagu yang digubah bersama puisi itu sesuai dengan apa yang dirasainya.
"Ketika lagu ini dirakamkan, Allahyarham baharu sahaja menjadi Perdana Menteri. Kebetulan saya pernah mendendangkan lagu ini di Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

"Selepas itu Allahyarham datang bertemu saya, beliau ucap tahniah dan beritahu lagu tersebut sesuai dengan perasaan yang dirasakan.
"Jadi saya juga berterima kasih kepada beliau ketika itu kerana memberi peluang untuk saya mencorak dan merakamkan lagu Ku Cari Damai Abadi," katanya kepada Sinar Harian.
Lirik Ku Cari Damai Abadi merupakan nukilan penuh makna tersirat dan sangat indah itu ditulis pada 2004 dan diperdengar pada Malam Perta Puisi Patriotik ke-5.
Lagu Ku Cari Damai Abadi dimuatkan dalam album Sadaqa pada tahun 2012.
Tambah Ramli, Allahyarham memberitahunya bahawa coretan puisi berkenaan dibuat secara spontan tanpa persiapan rapi.
Namun nukilan itu dihasilkan dengan sangat jelas dan terang.
"Allahyarham maklumkan pada saya, beliau diminta hasilkan sebuah puisi untuk acara yang beliau hadiri ketika itu.
"Namun beliau tidak sempat membuat persiapan rapi dan ayat puisi itu ditulis secara spontan, tetapi saya suka seni kata puisi itu yang terang dan jelas.
"Pada ketika itu, suara hati kecil saya memang sudah terdetik, kalaulah saya dapat lagukan puisi itu mengikut cara saya.
"Bagi saya, lagu itu boleh memberi impak kepada mereka yang sukakan lagu kerohanian," jelasnya yang akan terus menjadikan lagu tersebut sebagai teman baiknya dan didendangkan pada persembahan acara kerohanian.
Dalam pada itu, ditanya personaliti Allahyarham menerusi kaca matanya, komposer hebat itu melihat Tun Abdullah atau mesra dengan panggilan Pak Lah sebagai figura yang baik.
"Secara rohani saya rasakan, Allahyarham seorang baik baik, sukar melihat beliau dalam keadaan marah dan mempunyai kerohanian yang kuat.
"Walaupun saya bukan orang politik, tetapi bila berbual dengan kita, kita akan dapat merasa sentuhan sayu itu," katanya lagi.
Selepas pemergian Allahyarham Abdullah, sajak nukilan berjudul Ku Cari Damai Abadi kembali dikongsi rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang sebagai tanda penghormatan dan kenangan terhadap Perdana Menteri kelima itu.
Allahyarham Abdullah yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) jam 7.10 malam Isnin.
Tokoh yang pernah mendapat gelaran Bapa Pembangunan Modal Insan itu dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara. Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zohor di Masjid Negara, seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

