'Terlalu besar jasa Pak Lah kepada negara' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Jasa Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai mantan Perdana Menteri kelima disifatkan terlalu besar buat negara, khususnya dalam aspek pembangunan modal insan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, negara kehilangan seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada tanah air sepanjang Allahyarham menerajui kerajaan bermula 31 Oktober 2003 hingga 2 April 2009.

Menurutnya, banyak legasi hasil usaha Tun Abdullah meninggalkan kesan besar kepada negara sehingga ke hari ini.

Tun Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam Isnin.
Tun Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam Isnin.

“Antara legasi besar Allahyarham ialah pembangunan ekonomi yang difokuskan mengikut koridor wilayah, termasuk Koridor Pembangunan Ekonomi Utara (NCER) yang merangkumi negeri Kedah dan masih giat dilaksanakan sehingga kini,” katanya di sini pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, Allahyarham turut dikenang atas keprihatinannya terhadap bidang pendidikan Islam, apabila memperkenalkan Program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab, Fardu Ain) dalam sistem pembelajaran sekolah pada tahun 2004.

“Pak Lah juga dikenali atas usaha memajukan industri halal, mengamalkan dasar kepimpinan yang terbuka, serta memperkasakan seni budaya kebangsaan, khususnya dalam memperkenalkan batik sebagai salah satu warisan budaya negara,” ujarnya.

Menurutnya lagi, diharap segala jasa bakti Allahyarham Tun Abdullah kepada rakyat dan negara diambil kira sebagai amal jariah yang berterusan pahalanya di sisi ALLAH SWT.

“Kerajaan negeri Kedah turut menzahirkan rasa dukacita dan berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham ke rahmatullah pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

“Marilah kita menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah buat Allahyarham Tun Abdullah, semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!