Jenazah Tun Abdullah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan

KUALA LUMPUR - Jenazah Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat dikebumikan dengan penuh istiadat penghormatan negara di Makam Pahlawan Masjid Negara, pada jam 2.30 petang.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin, dikebumikan berhampiran pusara pemimpin serta tokoh kenamaan negara yang lain.
Antara pemimpin yang disemadikan di makan tersebut ialah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein; Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Ghafar Baba.
Upacara pengebumian disempurnakan selepas solat jenazah yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni sejurus selesai solat Zuhur.
Antara kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Turut hadir barisan jemaah menteri, wakil-wakil kedutaan asing, pemimpin masyarakat dan ribuan rakyat yang menzahirkan rasa kehilangan terhadap pemergian negarawan itu.
Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa dari kediaman rasmi di Tasik Perdana pada jam 8.10 pagi, diiringi istiadat penuh hormat oleh anggota pasukan keselamatan.
Allahyarham Tun Abdullah yang dikenali sebagai 'Pak Lah', menerajui negara sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009, dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, bersederhana dan berprinsip tinggi dalam membawa agenda pembaharuan serta Islam Hadhari.
@sinarharianonline "Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama-sama saya." Itu antara kata-kata keramat yang terpahat dalam ingatan rakyat dan para pemimpin semasa Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi diangkat sebagai Perdana Menteri kelima. Pemergian Abdullah adalah satu kehilangan besar buat Malaysia juga umat Islam sejagat kerana Konsep Islam Hadhari yang dibawanya kekal relevan dan memberi inspirasi kepada perpaduan, pembaharuan lebih erat dalam kalangan umat Islam di beberapa negara seperti, Indonesia dan Brunei. Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #SinarHarian #SinarTerkini #Belasungkawa #TunAbdullahAhmadBadawi #BapaPembangunanModalInsan #IslamHadhari
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
