PM sertai ribuan jemaah tunai solat jenazah Tun Abdullah

Anwar memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tun Abdullah di ruang solat utama di Masjid Negara pada Selasa.
Anwar memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tun Abdullah di ruang solat utama di Masjid Negara pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat jenazah buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, di sini.

Solat jenazah yang dilaksanakan sejurus selesai solat Zuhur itu diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Selain Anwar dan ahli keluarga Allahyarham, turut menyertai solat jenazah ialah barisan jemaah menteri antaranya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Jenazah Tun Abdullah kemudiannya diusung keluar dari dewan solat utama Masjid Negara menggunakan keranda yang dilitupi Jalur Gemilang, oleh kumpulan pengusung terdiri daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan polis, untuk dibawa ke Makam Pahlawan dan disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.

Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) ada 7.10 malam tadi.

IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Abdullah dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!