Pulau Pinang terus kukuh sebagai hab pelaburan, inovasi utama

Kon Yeow (tengah) ketika menghadiri Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan NCER Technology Innovation Centre (NTIC) dan NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST) di Komtar pada Selasa.
Kon Yeow (tengah) ketika menghadiri Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan NCER Technology Innovation Centre (NTIC) dan NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST) di Komtar pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan dan inovasi teknologi utama negara apabila mencatatkan pelaburan direalisasi berjumlah RM42.76 bilion serta mewujudkan hampir 9,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun 2024.

Pencapaian memberangsangkan itu merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Momentum positif tersebut diteruskan pada tahun ini dengan pelaburan sebanyak RM13.3 bilion dan penciptaan 3,000 peluang pekerjaan baharu direalisasikan setakat suku pertama 2025.

Perkembangan itu dibentangkan dalam Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan NCER Technology Innovation Centre (NTIC) dan NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST) di Komtar, di sini pada Selasa.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bersama Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.

Kon Yeow berkata, komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh NCER, seiring dengan aspirasi Ekonomi Madani dan Visi Penang2030.

“NTIC dan NEST memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem inovasi dan keusahawanan mampan di negeri ini.

"Tahun lalu sahaja, NTIC berjaya membantu merealisasikan pelaburan sebanyak RM26.8 bilion dan mencipta lebih 900 peluang pekerjaan.

“Manakala NEST pula berjaya meningkatkan jualan tahunan kumulatif syarikat-syarikat tempatan kepada RM197 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow turut berharap agar program NTIC dapat memperkukuh kedudukan Pulau Pinang dalam sektor semikonduktor melalui pembangunan teknologi Advanced Packaging (AP).

"Ini kerana, teknologi berkaitan memainkan peranan penting dalam meningkatkan rantaian nilai industri, sekali gus menyokong permintaan global terhadap produk elektronik berprestasi tinggi seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), 5G dan kenderaan elektrik," tambahnya.

Sementara itu, Mohamad Haris berkata, NTIC yang terletak di Bayan Lepas dibangunkan untuk memperkukuh ekosistem industri menerusi tiga inisiatif utama iaitu Centre of Excellence (CoE), Advanced Technology Meister Programme (ATMP), dan Technology & Innovation (T&I).

“NTIC diharap menjadi hab kolaborasi antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, syarikat multinasional serta institusi akademik,” katanya.

Tambah beliau, program NEST juga menunjukkan impak positif apabila membantu 80 syarikat tempatan meningkatkan pendapatan masing-masing selain mewujudkan 356 peluang pekerjaan baharu.

“NCER komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelaburan utama dan pusat inovasi teknologi di rantau ini,” tambahnya lagi.

Melalui pelbagai inisiatif dan pencapaian yang ditunjukkan, Pulau Pinang kini berada pada landasan tepat untuk menjadi model pembangunan ekonomi mampan dan hab teknologi tinggi, selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Strategik NCER.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!