Tun Abdullah kekal dalam memori rakyat sebagai pemimpin berwibawa, jujur - Pas

KUALA LUMPUR – Pas merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disahkan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu menyatakan rasa sedih yang mendalam atas kehilangan tokoh besar negara yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan dan kestabilan negara sepanjang pentadbirannya.
“Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat dan keampunan-Nya ke atas roh Allahyarham serta menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Ketua Whip Pembangkang itu, Pas turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga serta sanak saudara Allahyarham Abdullah dikurniakan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi detik duka ini.
“Allahyarham akan kekal dalam catatan sejarah negara dan memori rakyat sebagai pemimpin yang berwibawa, jujur, budiman, berjasa dan dihormati oleh semua,” tambah beliau lagi.
Tun Abdullah, atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’ dalam kalangan rakyat, dikenang sebagai pemimpin berprofil sederhana yang mengutamakan pendekatan diplomasi serta nilai Islam Hadhari dalam pemerintahan negara.
Beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Razak.
Ucapan takziah daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin negara dan masyarakat awam, terus membanjiri media sosial sejak berita pemergian beliau diumumkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!