Kerajaan disaran perkenal pembelajaran sivik fokus nilai moral, sekat gejala LGBT

KOTA BHARU - Kerajaan disaran memperkenalkan pembelajaran sivik yang lebih khusus bagi memberi penekanan terhadap nilai moral seterusnya mengekang gejala seksual termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, penekanan terhadap aspek tersebut penting bagi membina kefahaman generasi muda tentang batas kehidupan yang harmoni dan berpandukan ajaran agama.
“Alangkah baiknya jika diterangkan perkara-perkara bersifat songsang seperti LGBT dan seumpamanya dengan jelas agar dapat dijarakkan daripada masyarakat.
“Islam, kemanusiaan dan masyarakat yang sihat menganggap perkara itu keji dan hina, maka sewajarnya gejala itu dijauhkan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Seminar Kebudayaan Islam 2025 di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.
Menurutnya, pengisian tersebut boleh disampaikan secara langsung atau diselitkan dalam mana-mana subjek sedia ada yang bersesuaian.
Beliau berkata, silibus Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sedia ada amat berguna namun perlu diperkuatkan dari sudut penekanan terhadap isu-isu semasa.
“Saya tidak kata yang sedia ada tidak mencukupi, tapi perlukan penegasan yang berterusan kerana masyarakat sentiasa berubah sesuai dengan generasi baru,” katanya.
Dr Zulkifli turut menggesa agar seluruh elemen masyarakat memainkan peranan bermula dari rumah sehingga ke peringkat dasar negara.
Katanya, ibu bapa harus menjadi benteng pertama dengan memberi pendedahan awal mengenai batas pergaulan dan aurat dalam keluarga.
“Walaupun adik-beradik dan mahram, tetapi perlu jaga cara pakaian, tempat tidur diasingkan selain jaga tutur kata.
“Media moden hari ini terlalu terbuka, anak-anak mudah akses bahan-bahan tidak bermoral, jadi peranan ibu bapa sangat penting untuk menapisnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

