LRA Wakaf Bunut tercemar, jejas 8,500 akaun pengguna AKSB

KOTA BHARU - Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut di Pasir Puteh disyaki telah tercemar dengan racun daripada kolam peliharaan ikan terdekat sehingga terpaksa dihentian operasi dan menjejaskan 8,500 akaun pengguna Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Jabatan Korporat AKSB dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat gangguan kualiti air mentah telah berlaku di muka sauk LRA Wakaf Bunut pada Jumaat.
"Sungai Rasau adalah aliran masuk ke muka sauk LRA Wakaf Bunut dan lokasi kejadian adalah hulu kepada sungai, di mana menjadi sumber bekalan air mentah kepada loji tersebut.
"Ia disyaki telah tercemar dengan racun daripada kolam peliharaan ikan terdekat.
"Air daripada kolam tersebut telah mengalir ke dalam sungai, dan ini dibuktikan terdapatnya ikan-ikan yang telah mati di dalam kolam peliharaan (adanya unsur racun di dalam air kolam), sebagaimana dakwaan oleh pemilik kolam," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, lawatan ke lokasi bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Sumber Air
Negeri Kelantan (JSANK) telah diadakan pada Sabtu untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Ujarnya, SPAN Kelantan bersama AKSB turut melakukan tinjauan pada empangan pengairan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sungai Rasau.
"Mendapati terdapat ikan-ikan di sungai yang telah mati. Susulan itu, atas faktor keselamatan dan keperluan semakan yang lebih terperinci, pihak SPAN memaklumkan bahawa loji tidak boleh beroperasi dan dihentikan tugas untuk sementara waktu.
"Pengoperasian loji hanya boleh dilakukan setelah mendapat pengesahan air mentah adalah selamat untuk diproses oleh pihak JSANK atau JAS (Jabatan Alam Sekitar)," katanya.
Menurut kenyataan itu, untuk tempoh ini, AKSB akan memperluaskan agihan bekalan air daripada LRA Merbau Chondong ke kawasan Wakaf Bunut melalui Pam Penggalak Padang Pak Amat.
Ujarnya, sebanyak empat lori tangki AKSB, dibantu oleh dua lori air kontrak telah digerakkan untuk membantu premis terjejas, seperti hospital dan sekolah.
AKSB juga akan mendapatkan bantuan lori tangki daripada operator terdekat, iaitu Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam sama-sama membantu penduduk sekitar mendapatkan bekalan air bersih.
AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, atau hubungi PINTAS di talian 15777 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

