37 mahasiswa mangsa kebakaran Putra Heights terima bantuan komputer riba

Antara mahasiswa yang menerima bantuan komputer riba daripada MCMC.
Antara mahasiswa yang menerima bantuan komputer riba daripada MCMC.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 37 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang kehilangan harta benda akibat insiden kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights menerima bantuan komputer riba bagi memudahkan urusan pembelajaran.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, bantuan itu turut disalurkan kepada sekolah-sekolah yang terkesan di sekitar kawasan tersebut.

“Secara keseluruhannya, sejumlah 302 unit komputer riba iaitu 37 unit kepada mahasiswa dan 265 unit kepada sekolah disalurkan bagi membantu meringankan beban mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.

“Selain itu, kami juga menyalurkan 620 unit telefon bimbit kepada setiap isi rumah.

“Pemberian kemudahan ini akan disalurkan secara berperingkat dalam tempoh terdekat,” katanya pada Ahad.

Terdahulu, saluran paip gas milik Petronas terbakar pada jam 8.10 pagi,1 April lalu, dengan api menjulang lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa mengambil masa selama hampir lapan jam untuk memadamkannya sepenuhnya.

Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah lagi terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.

Dilaporkan, seramai 111 mangsa masih mendapatkan rawatan di beberapa hospital termasuk Hospital Serdang, Hospital Cyberjaya serta Hospital Putrajaya.

Seramai 13 orang berada di zon merah, zon kuning 55 orang manakala zon hijau seramai 43 orang.

Artikel Berkaitan:

Seramai 75 daripada 111 mangsa ini mendapat rawatan dan berada di hospital Serdang, Cyberjaya dan Putrajaya, manakala 36 mangsa lagi berada di hospital lain termasuk Hospital Sungai Buloh.

Tambah MCMC, pemberian tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dalam satu majlis ringkas baru-baru ini semasa lawatan beliau bersama wakil Kementerian Komunikasi dan MCMC ke pusat penempatan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Infrastruktur Telekomunikasi), Mano Verabathran.

“MCMC berharap inisiatif ini dapat mengurangkan beban mangsa khususnya dalam urusan pembelajaran, perkhidmatan dalam talian serta perhubungan komunikasi yang penting terutamanya dalam situasi ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!