Rumah rosak, penduduk bantah lori guna jalan kampung

BANTING - Rumah penduduk Kampung Sungai Lang Tengah di sini didakwa mengalami kerosakan akibat gegaran daripada lori membawa muatan berat yang kerap menggunakan laluan kampung berkenaan sejak enam bulan lalu.
Penduduk kampung, Syahidan Kahar, 25, berkata, masalah itu didakwa berlarutan apabila lori pelbagai jenis dan muatan berat kerap melalui jalan berkenaan.
Menurutnya, rumahnya mengalami kerosakan pada bahagian dinding selain tangga yang turut retak akibat gegaran daripada pergerakan lori.
"Bukan sahaja rumah saya, malah banyak lagi rumah penduduk lain turut mengalami nasib sama, termasuk mengalami keretakan seperti yang dimaklumkan kepada saya.
"Lori boleh dikatakan lalu setiap hari. Situasi ini memang merisaukan kerana bukan sahaja melibatkan kerosakan rumah, tetapi juga keselamatan penduduk yang menggunakan jalan ini," katanya.
Beliau berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah berkenaan.
Berkongsi nasib sama, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Farouk, 42, berkata, rumahnya yang terletak berhampiran jalan turut mengalami keretakan.
"Kalau lori lalu, memang terasa gegarannya. Lori yang melalui jalan ini pula membawa muatan besar.
"Malah, terdapat juga saluran paip air di tepi jalan yang bocor dipercayai akibat bergesel dengan lori berkenaan. Apabila lori besar melalui jalan yang kecil, keadaan seperti inilah yang berlaku," ujarnya.
Menurutnya, jika tiada tindakan lanjut diambil, penduduk bimbang kerosakan lain akan terus berlaku.
Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Lang Tengah, Noor Azura Mohamed Nasir berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pemaju berkaitan, namun lori masih menggunakan laluan kampung berkenaan.
"Perkara ini seolah-olah mencabar kesabaran penduduk kampung.
"Laluan lori ini melalui kawasan empat sekolah, sampai bila isu ini akan berterusan? Sepatutnya lori tidak menggunakan laluan kampung ini," katanya.
Tambahnya, aduan berhubung perkara itu juga telah disalurkan kepada pihak berwajib dan penduduk berharap tindakan sewajarnya serta tegas diambil bagi menangani masalah berkenaan.
Sabtu lalu, ahli jawatankuasa kampung bersama beberapa penduduk mengadakan perhimpunan bagi menyuarakan bantahan terhadap penggunaan laluan kampung oleh lori yang menimbulkan keresahan, khususnya berkaitan keselamatan pengguna jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

