Kebakaran saluran gas: Dua PPS Putra Heights ditutup sepenuhnya hari ini

SUBANG JAYA – [DIKEMAS KINI] Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Camelia dan Masjid Putra Heights yang menempatkan mangsa terjejas akibat insiden kebakaran saluran gas baru-baru ini, telah ditutup sepenuhnya pada jam 2 petang, Ahad.
Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, PPS yang beroperasi selama 13 hari itu ditutup selepas 60 keluarga terakhir keluar dari PPS Masjid Putra Heights.
“Jumlah mangsa yang dipindahkan mencecah 613 keluarga susulan insiden yang berlaku pada 1 April lalu.
“Bagi hari ini (Ahad), seramai 60 keluarga telah keluar dari PPS Masjid Putra Heights dan yang terakhir berbuat demikian pada jam 2 petang tadi.
“Hari ini kita menutup secara rasmi selepas semua mangsa telah memperoleh kediaman sementara atau tetap,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini dilaporkan, kebakaran saluran gas milik Petronas pada 1 April lalu mengakibatkan api menjulang sehingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami, manakala 148 kediaman lagi turut terjejas namun masih boleh diduduki selepas proses pembaikan, menyebabkan dua PPS dibuka.
Mengulas lanjut, Huzunul Khaidil berkata pihaknya telah memaklumkan kepada semua mangsa yang berlindung di PPS supaya membuat perancangan keluar secara berperingkat.
“Ada yang berhajat untuk berpindah ke kediaman sendiri, menumpang di rumah saudara-mara, menyewa dan ada juga yang terus menerima insentif yang diberikan oleh kerajaan seperti penempatan inap desa menerusi Airbnb dan hotel yang ditaja pihak Parlimen.
“Jadi, mereka kini ditempatkan di lokasi yang lebih selesa untuk keluarga masing-masing dan selepas itu akan mencari rumah sewa yang turut ditaja oleh kerajaan negeri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
