Pemulihan rancak

Sukarelawan Selangor (SERVE) turut serta dalam operasi pembersihan di kawasan yang terjejas akibat kebakaran letupan saluran paip gas di Putra Height pada 9 April 2025.
Sukarelawan Selangor (SERVE) turut serta dalam operasi pembersihan di kawasan yang terjejas akibat kebakaran letupan saluran paip gas di Putra Height pada 9 April 2025.
A
A
A

PROSES pemulihan di sekitar lokasi kejadian letupan di Taman Putra Height giat dijalankan pelbagai pihak supaya mangsa berpeluang untuk menikmati kehidupan selesa pada kadar segera.

Gandingan Kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan yang turut dibantu pihak berkuasa tempatan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan dan sukarelawan mempercepat usaha tersebut.

Penempatan percuma

Seramai 270 pemilik dibenar pulang ke rumah setakat 9 April selepas premis berkenaan disahkan selamat untuk diduduki. Ia merangkumi 165 kediaman di Taman Harmoni manakala 105 lagi di Kampung Kuala Sungai Baru.

Bilangan berkenaan bertambah sedikit berbanding 151 yang diumumkan pada 7 April. Secara keseluruhan, sebanyak 437 rumah terjejas akibat bencana tersebut.

Seramai 16 keluarga meliputi 60 orang yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia berpindah ke rumah inap percuma selama sebulan mulai 9 April. Kemudahan itu disediakan hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Airbnb.

PPS tersebut ditutup pada malam 9 April manakala penghuni PPS di Masjid Putra Heights dalam proses pendaftaran dan dijangka selesai pada 13 April. Mereka diberi bantuan makanan asas antaranya beras, tepung dan minyak masak secara percuma selama sebulan.

Kerajaan Negeri berbelanja RM7.4 juta bagi menampung kos sewaan rumah kepada 613 keluarga terjejas. Jumlah itu merangkumi sumbangan RM2,000 setiap keluarga sepanjang enam bulan, anggaran tempoh mangsa membaiki atau membina semula rumah.

Pada 5 April, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan kerajaan persekutuan akan membantu membina semula semua rumah yang musnah sepenuhnya. Namun, proses berkenaan mengambil sedikit masa kerana melibatkan pelbagai agensi dan keperluan teknikal.

Artikel Berkaitan:

Kerja pembersihan

Setakat 9 April, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) menyediakan 11 tong Roll-On Roll-Off (roro) di sekitar kawasan Putra Heights.

Dalam tempoh itu, KDEBWM mengeluarkan lebih 150 tan sampah domestik dan pukal. Kutipan tersebut melibatkan Taman Putra Harmoni, Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah.

Sejak hari ketiga kejadian, anggaran 15 tan hingga 20 tan sisa dipungut setiap hari. Usaha itu hasil kerja berterusan petugas dan sukarelawan antaranya:

- 400 sukarelawan SERVE dan 100 orang dari Team Selangor

- Pembersihan tertumpu di kawasan terjejas termasuk sampah pukal dan serpihan perabot rosak

- 1,000 sukarelawan SERVE dan Team Selangor dijangka sertai pembersihan perdana pada 12 dan 13 April

Kenderaan

Setakat 8 April, sebanyak 200 kenderaan pelbagai model disediakan lima syarikat automotif hasil sumbangan Cherry, Tan Chong Group, Carsome, Carro dan EON.

Kenderaan tersebut disediakan percuma untuk tempoh sebulan. Menurut Exco Pelaburan dan Mobiliti Ng Sze Han, lebih 190 permohonan diterima pihaknya.

Kementerian Pengangkutan pula menyumbang 55 motosikal secara percuma kepada penduduk. Cukai jalan, perlindungan insurans ditampung selama setahun. Sijil pemilikan atas nama penerima.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!