Kebakaran saluran gas: Bantuan kepada mangsa perlu menyeluruh - Pemuda Pas Selangor

SHAH ALAM - Pemberian bantuan kepada mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights baru-baru ini, perlu menyeluruh dan berkesan terutama dari segi keperluan asas seperti tempat tinggal serta akses pendidikan anak-anak.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, ia susulan terdapat laporan bahawa pemilik rumah mengenakan deposit mencecah tiga bulan sehingga menyukarkan mangsa mendapatkan kediaman selain permintaan tinggi rumah sewa di kawasan sekitar menyulitkan lagi keadaan.
“Kerajaan Selangor telah mengumumkan bantuan sewa rumah kepada 613 keluarga mangsa, bantuan ini amat dihargai dan disambut baik sebagai langkah awal pemulihan tetapi timbul persoalan sama ada semua mangsa telah berjaya mendapatkan rumah sewa yang sesuai.
"Ia berikutan dengan jumlah mangsa yang ramai serta permintaan mendadak terhadap unit sewaan di kawasan sekitar, ada kemungkinan sebahagian keluarga masih belum memperoleh kediaman sementara.
“Lebih membimbangkan, terdapat laporan mangsa berdepan kesukaran menyewa rumah kerana dikenakan bayaran deposit sehingga tiga bulan oleh pemilik rumah yang menyukarkan lagi mereka untuk segera berpindah walaupun bantuan telah diumumkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini dilaporkan, mangsa kebakaran didakwa sukar mendapatkan kediaman sementara untuk disewa berikutan bayaran deposit antara dua hingga tiga bulan yang dikenakan pemilik rumah.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas melawat mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri mempersoalkan sekiranya kerajaan negeri menyediakan mekanisme tambahan seperti jaminan sewa, dana pendahuluan atau rundingan dengan pemilik rumah untuk meringankan beban mangsa.
“Selain itu, jika rumah yang diperoleh terletak jauh dari lokasi penting seperti sekolah anak-anak atau tempat kerja ibu bapa, maka kos perjalanan harian juga boleh menjadi beban tambahan yang besar.
“Adakah kerajaan negeri turut mempertimbangkan bantuan tambahan seperti sokongan pengangkutan, subsidi mobiliti atau penempatan semula yang lebih strategik bagi mengurangkan impak kepada kehidupan harian mangsa?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
