Masjid Taman Subang Perdana, surau terima wakaf al-Quran

SHAH ALAM – Masjid Taman Subang Perdana dan surau-surau di bawah kariahnya menerima sumbangan wakaf al-Quran pada Ahad bagi menggalakkan pembacaan serta penghayatan kitab suci itu dalam kalangan masyarakat setempat.
Ketua Komunikasi Korporat dan Hubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, sebanyak 54 set wakaf diserahkan menerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam program di masjid berkenaan yang turut melibatkan sekolah agama rakyat sebagai penerima.
Menurutnya, setiap set mengandungi tujuh jenis al-Quran serta 10 naskhah surah Yasin dan surah al-Kahfi untuk ditempatkan di sudut bacaan al-Quran atau Quran Corner.
“Masjid Taman Subang Perdana menerima lima set, manakala 14 surau menerima tiga set setiap satu dan sekolah agama rakyat pula menerima dua set bagi setiap sekolah,” katanya pada majlis penyerahan yang didiadakan di Masjid Subang Perdana di sini pada Ahad.
Penyerahan itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf yang mewakili yayasan berkenaan.
Nik Justin berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Wakaf Al-Quran 2026 bertemakan ‘Satu Komuniti, Satu Al-Quran: Membina Jalinan, Menyubur Ketenangan’.
“Melalui inisiatif ‘Satu Komuniti, Satu Al-Quran’, tujuan utama kami adalah untuk memperkukuh institusi komuniti sebagai ruang yang mendorong pembelajaran, pemahaman dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Beliau berkata, program yang berlangsung sepanjang November hingga Disember 2026 itu memberikan tumpuan khusus kepada golongan miskin bandar di sekitar Lembah Klang.
Jelasnya, usaha berkenaan merupakan kesinambungan Program CSR Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 yang sebelum ini menyantuni keperluan asas masyarakat berdepan cabaran kos sara hidup.
“Usaha ini bukan sekadar memberi bantuan fizikal, malah menjadi wadah untuk memupuk kesejahteraan mental dan kerohanian sekali gus membentuk masyarakat yang lebih resilien, harmoni dan sejahtera,” katanya.
Menurut beliau, Karangkraf turut merancang mewujudkan Quran Corner di lokasi terpilih termasuk surau, masjid, sekolah dan pejabat bagi menyediakan ruang pembacaan, tadabbur, perkongsian ilmu serta interaksi sosial yang positif.
“Melalui program ini, Karangkraf akan mengagihkan sebanyak 1,000 set wakaf yang mengandungi Al-Quran, Yasin, buku-buku Islamik serta bahan bacaan kerohanian kepada surau, masjid, institusi pendidikan dan organisasi korporat terpilih di seluruh negara,”jelasnya.
Beliau memaklumkan, beberapa lagi program penyerahan akan menyusul bagi memperluaskan pengagihan set wakaf al-Quran sebelum penghujung tahun ini.
Sehubungan itu, katanya, Karangkraf mengalu-alukan penyertaan pewakaf, rakan strategik dan organisasi korporat untuk bersama-sama menjayakan usaha tersebut demi manfaat lebih ramai anggota komuniti yang memerlukan.
Sementara itu, Nazir Masjid Taman Subang Perdana, Yazid Jani berkata, sumbangan berkenaan amat bermakna dan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kegunaan jemaah, termasuk bagi aktiviti pembacaan al-Quran pada Ramadan akan datang.

“Di sini memang ada kumpulan yang membaca al-Quran setiap hari, termasuk saya. Biasanya selepas solat Subuh, saya akan bersama ahli kariah untuk membaca al-Quran dan ia sudah menjadi rutin kami,” katanya
Menurutnya, naskhah yang dilengkapi terjemahan dan tafsir itu turut membantu pembaca memahami maksud ayat yang dibaca, sekali gus membolehkan mereka menghayati kandungannya dengan lebih baik.
Jelasnya, sumbangan tersebut dapat merancakkan aktiviti melibatkan remaja, belia dan penduduk setempat di masjid dan surau pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

