Kebakaran Putra Heights: Penduduk boleh ganti dokumen percuma tanpa laporan polis

KOTA BHARU - Mangsa letupan saluran paip gas di Putra Heights boleh menggantikan dokumen kenderaan atau lesen memandu yang hilang atau rosak tanpa perlu membuat laporan polis atau membawa sebarang dokumen lain.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berpendapat masih ada lagi pemilik kenderaan yang belum berkesempatan berbuat demikian dalam tempoh empat hari agensi itu membuka kaunter bergerak di sekitar Putra Heights yang berakhir 6 April lepas.
Aedy Fadly memberitahu, dalam tempoh itu, JPJ berjaya mendaftar dan mengeluarkan sebanyak 221 dokumen dan diagihkan kepada pemilik kenderaan yang terkesan secara percuma.
"Pemilik kenderaan tidak perlu bimbang kerana proses penggantian hanya perlu memaklumkan nama, nombor kad pengenalan dan alamat rumah.
"Melalui maklumat itu, kita akan melakukan pengesahan sebelum mengeluarkan penggantian secara percuma," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JPJ pada Ahad.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu penduduk yang terkesan dengan insiden itu kerana dalam keadaan biasa pemilik perlu membayar pada kadar RM50 untuk tujuan berkenaan.
Aedy Fadly memberitahu, daripada jumlah berkenaan, penggantian dokumen paling banyak membabitkan geran kereta dan lesen kenderaan motor (LKM).
"Mereka juga boleh datang pada bila-bila masa untuk membuat penggantian sama ada di kaunter JPJ atau Pusat Transformasi Bandarc (UTC)," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata, operasi sempena perayaan Aidilfitri yang dilaksanakan dari 24 Mac hingga 8 April lalu menunjukkan kejayaan kerana dapat mengurangkan kemalangan maut.
Jelas beliau lagi, JPJ akan sentiasa menambah baik tindakan yang boleh dilaksanakan untuk operasi akan datang.
"Saya sedang berbincang bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengenai beberapa penambahbaikan dan kita akan umumkan dalam masa terdekat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
