Pulau Pinang sudah serah senarai calon TYT kepada Pejabat Perdana Menteri

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang sudah menyerahkan senarai nama calon Yang di-Pertua (TYT) Pulau Pinang baharu kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk dipertimbangkan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, senarai beberapa nama tersebut telah diserahkan kepada PMO baru-baru ini berikutan tempoh penggal TYT Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak akan tamat pada 30 April ini.
"TYT dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk satu penggal iaitu empat tahun dan penggal ini akan tamat pada 30 April 2025. Sekiranya penggal Tun Ahmad Fuzi dilanjutkan, ia perlu melalui proses lantikan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
"Jika tidak dilanjutkan, maka perlu satu pelantikan baharu. Semua tertakluk kepada Perlembagaan Negeri, jika ada lanjutan pun akan tertakluk kepada proses sama.
"Saya minta semua bersabar, ini adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan pada masa sesuai, sebarang pengumuman akan dibuat berhubung dengan perkara ini," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai senarai nama yang diserahkan kerajaan negeri, Kon Yeow berkata, senarai nama tersebut telah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
"Selalunya kerajaan negeri akan diminta oleh PMO untuk kemukakan nama dan perkara ini sudah dilakukan oleh kita setelah persetujuan MMK.
"Senarai itu akan dibawa oleh PMO ke istana untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Ketika ditanya mengenai jumlah senarai nama yang dihantar oleh kerajaan negeri, Kon Yeow bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.
"Saya memilih (untuk) tidak menyentuh perkara yang dibawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
"Orang Pulau Pinang atau tidak, jawapan saya tetap sama. Apa yang penting, kerajaan negeri sudah melaksanakan peranan kita dengan menghantar senarai nama ke PMO," katanya.
Terdahulu, timbul khabar angin mengenai nama-nama calon yang bakal menjadi TYT Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Ahmad Fuzi yang dilantik memegang jawatan itu pada 1 Mei 2021.
Antara nama-nama yang disebut ialah bakal menggantikan Ahmad Fuzi ialah bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!