Matikan suis utama elektrik di rumah bila banjir - Bomba

SHAH ALAM - Masyarakat diingatkan tidak memandang ringan terhadap bahaya renjatan elektrik ketika berdepan situasi banjir terutama apabila air mula memasuki kawasan kediaman.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku akibat aliran elektrik dalam air banjir.
"Antara langkah penting ialah mematikan suis utama elektrik sebelum banjir melanda, ini termasuk suis utama di papan agihan (distribution board) serta semua peralatan elektrik di rumah," katanya pada Ahad.
Menurut beliau, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menghidupkan semula suis atau peralatan elektrik yang telah terendam air tanpa pemeriksaan oleh pakar bertauliah kerana ia boleh membawa risiko renjatan maut.
"Jangan sesekali menyentuh peralatan atau suis elektrik yang basah atau berada dalam kawasan digenangi air.
"Sekiranya perlu, gunakan sarung tangan getah dan kasut getah berpenebat sebagai perlindungan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya semua sambungan elektrik menggunakan peralatan yang mendapat pengiktirafan seperti pensijilan SIRIM atau Suruhanjaya Tenaga.
"Penggunaan wayar sambungan tidak berkualiti boleh meningkatkan risiko renjatan, lebih-lebih lagi dalam keadaan lembap atau banjir," katanya.
Tambah Wan Md Razali, penggunaan generator elektrik juga perlu dibuat dengan penuh cermat.
"Pastikan generator digunakan di kawasan yang kering dan mempunyai pengudaraan yang baik untuk mengelak risiko renjatan atau pencemaran karbon monoksida,” ujarnya.
Selepas banjir surut, katanya, pemilik kediaman harus mendapatkan khidmat juruelektrik bertauliah bagi memeriksa semula semua pendawaian dan peralatan sebelum digunakan semula.
"Langkah ini penting untuk memastikan tidak berlaku sebarang kebocoran arus yang boleh mendatangkan bahaya," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru setiap isi rumah agar memberi kefahaman kepada semua ahli keluarga termasuk kanak-kanak mengenai bahaya air banjir yang bercampur elektrik.
"Pendidikan awal kepada keluarga mengenai keselamatan asas boleh menyelamatkan nyawa," katanya.
Sebagai langkah persediaan tambahan, beliau menyarankan orang ramai menyimpan nombor penting seperti talian kecemasan JBPM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan segera jika berlaku insiden berkaitan elektrik.
"Air banjir boleh bertindak sebagai konduktor elektrik yang sangat berbahaya, walaupun dari sumber yang kelihatan kecil.
"Pentingnya kesedaran dan kerjasama masyarakat dalam mengambil langkah keselamatan awal bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam kejadian banjir di rumahnya di Kampung Padang Jawa di sini pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

