Rasuah Busters angkat suara rakyat

SHAH ALAM - Penganjuran Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara: Mengimbas Kembali Kenyataan Jakarta mengangkat peranan masyarakat sivil termasuk Rasuah Busters dalam usaha membanteras gejala rasuah di peringkat ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, penyertaan itu dapat memberi keseimbangan dalam perbincangan strategi dan hala tuju persidangan berkenaan.
“Ia membuka ruang untuk berkongsi matlamat dan nilai bersama dalam usaha menambah baik institusi perundangan serta dasar awam.
“Menerusi platform tersebut, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Rasuah Busters dapat memainkan peranan dalam mengangkat suara rakyat dan menggalas peranan sebagai rakan strategik kepada agensi antirasuah di negara ASEAN.
“Kami melihat ini sebagai satu langkah penting ke arah merealisasikan Artikel 13 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) yang menekankan peranan masyarakat sivil dalam pencegahan rasuah,” katanya kepada Sinar Ahad.
Persidangan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada jam 9 pagi, 29 April ini.
Ia dengan kerjasama pelbagai agensi antirasuah dan organisasi awam di seluruh Asia Tenggara bagi berkongsi kepakaran, strategi dan usaha membina wilayah yang berdaya tahan terhadap gejala rasuah.
Ujar Nurhayati, program berkenaan turut memperluaskan penglibatan masyarakat sivil dari pelbagai negara menerusi perkongsian maklumat, bahan dan koordinasi lebih strategik antara NGO serta agensi antirasuah.
“Apabila menyebut tentang sebaris (dengan agensi antirasuah di Asia Tenggara), ia membawa maksud peranan Rasuah Busters dan masyarakat sivil sebagai pemain utama yang turut bersama-sama dalam mencapai sasaran antirasuah setiap negara ASEAN.
“Penyertaan Rasuah Busters adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang, namun yang lebih penting ialah bagaimana peluang itu dapat dimanfaatkan selepas persidangan tersebut,” ujarnya.
Menurut beliau, perhimpunan serantau itu juga menjadi platform penting untuk membincangkan isu kritikal yang dikongsi bersama negara ASEAN lain seperti pelaksanaan projek mega, perlindungan pemberi maklumat dan pembiayaan dana politik.
Jelasnya, isu berkenaan memerlukan modul terbaik yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan amalan di setiap negara.
“Selain itu, persidangan tersebut penting untuk kita melakukan refleksi kolektif terhadap pelaksanaan konvensyen antirasuah sedia ada.
“Perspektif dibawa oleh masyarakat sivil, yang sentiasa dekat dengan rakyat mampu menjadi jambatan antara agensi dan komuniti akar umbi.
“Justeru, penglibatan masyarakat sivil dalam program berkenaan adalah sangat penting dalam mewujudkan jaringan kerjasama antirasuah yang lebih kukuh dan meluas di peringkat serantau,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

