Pameran seni Keunggulan Numismatik, Rona & Kata pamer kisah kerajaan Asia Tenggara

Antara karya seni yang dipamerkan dalam Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.
Antara karya seni yang dipamerkan dalam Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) melancarkan pameran Keunggulan Numismatik: Sejarah Tertempa, Warisan Terukir dan Rona & Kata.

Pengarahnya, Noreen Zulkepli berkata, kedua-dua pameran itu dianjurkan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor-Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 yang berlangsung dari 7 hingga 10 April 2025 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pameran Keunggulan Numismatik meneroka evolusi mata wang dengan memaparkan duit syiling dan wang kertas pertama ditemui pada abad ketujuh serta kulit siput gerus yang berfungsi sebagai duit seawal 2000 sebelum masihi.

Tambah beliau, pengunjung juga akan mendapat gambaran tentang pertukaran budaya yang membentuk rantau Asia Tenggara selain berpeluang melihat beberapa artifak dan replika jarang ditemui dari negara-negara ASEAN.

“Majlis pelancaran pameran ini diadakan pada 9 April 2025 dan diserikan dengan kehadiran 10 Gabenor dari negara ASEAN, melambangkan kerjasama dan kesatuan serantau.

“Pameran ini secara langsung membawa pengunjung mengenali kisah 18 buah kerajaan purba di Asia Tenggara melalui duit syiling dan wang kertas di samping diorama ’Pasar ASEAN’ yang menggambarkan suasana pasar terkenal di seluruh ASEAN masa kini.

“Selain itu, pengunjung akan turut dapat mempelajari peranan bank pusat di negara-negara tersebut,” katanya dalam Majlis Pelancaran pameran Keunggulan Numismatik: Sejarah Tertempa, Warisan Terukir dan Rona & Kata di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia di sini pada Rabu.

Abdul Rasheed (lima dari kiri) melancarkan pameran seni Keunggulan Numismatik: Sejarah Tertempa, Warisan Terukir dan Rona & Kata di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada Rabu.
Abdul Rasheed (lima dari kiri) melancarkan pameran seni Keunggulan Numismatik: Sejarah Tertempa, Warisan Terukir dan Rona & Kata di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas lanjut, menurut Noreen, pameran Rona & Kata merupakan hasil interaksi dinamik antara karya seni dengan kesusasteraan yang memaparkan lebih 150 karya seni dari Malaysia dan ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pameran tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu ‘He, the Colour and the Word’, ‘Inspired by Words’ dan ‘Letters from ASEAN’.

Beliau berkata, pengunjung akan dapat menghayati teks puisi yang digabungkan dengan elemen visual, muzik, filem dan ilustrasi daripada karya kesusasteraan.

“Pameran ini turut menampilkan beberapa karya seni yang langka dari pelbagai negara ASEAN.

“Pameran BNM MAG kali ini bukan sekadar pameran biasa tetapi merupakan gerbang ilmu untuk meraih pemahaman yang mendalam dan bermakna terhadap kisah-kisah serta sejarah yang menyatukan ASEAN menerusi mata wang dan karya seni.

“Keunggulan Numismatik dan Rona & Kata membuktikan bahawa budaya memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang dan menggalakkan perbincangan yang meninggalkan kesan sepanjang zaman," ujarnya.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kedua-dua pameran tersebut mewakili dialog menarik antara seni, kesusasteraan dan mata wang sekali gus mendedahkan persamaan antara negara ASEAN yang dikongsi bersama.

Ulasnya, pengalaman yang diperoleh daripada menganjurkan pameran tersebut menunjukkan potensi kerjasama yang lebih mendalam antara negara serantau.

“Saya harap kedua-dua pameran ini dapat memperkaya pengalaman melalui karya seni dari seluruh rantau dan bukan sahaja menghargai keunikan negara masing-masing tetapi mengiktiraf idea yang dikongsi bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!