Rasuah musnah bangsa, didik integriti sejak sekolah - GPMS

Kerajaan disaran menambah modul khas pendidikan antirasuah dalam sukatan pelajaran bermula di peringkat sekolah menengah hingga ke universiti. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Muhammad Hafizzul)
Kerajaan disaran menambah modul khas pendidikan antirasuah dalam sukatan pelajaran bermula di peringkat sekolah menengah hingga ke universiti. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Muhammad Hafizzul)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menambah modul khas pendidikan antirasuah dalam sukatan pelajaran bermula di peringkat sekolah menengah hingga ke universiti.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Wan Muhammad Hafizzul Wan Ismail berkata, ia bagi memastikan sistem pendidikan di negara ini ditambah baik dan memberi penekanan khusus terhadap isu antirasuah secara menyeluruh.

"Walaupun nilai-nilai murni seperti integriti ada diterapkan dalam kurikulum melalui subjek seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik, namun ia masih belum menyeluruh.

"Apa lagi boleh ditambah ialah mewujudkan program latihan integriti dan kepimpinan bersama agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Selain itu, laksanakan juga aktiviti simulasi dan debat berkaitan isu integriti dalam kalangan pelajar serta mendedahkan kes-kes sebenar agar pelajar faham impaknya kepada negara dan rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, gejala rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi negara memberi kesan yang besar terhadap persepsi golongan muda terhadap integriti kepimpinan negara.

Jelasnya, ia secara langsung menjejaskan keyakinan anak muda terhadap pentingnya nilai ketelusan dalam kehidupan.

"Anak muda mula mempersoalkan nilai moral pemimpin negara dan berasa tawar hati untuk terlibat dalam proses demokrasi serta kepimpinan.

"Jika dibiarkan, perkara ini boleh menjejaskan pembangunan modal insan dan masa depan politik negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar beberapa langkah dilaksanakan bagi menangani isu rasuah secara menyeluruh dan berkesan.

Antara cadangan utama termasuk memperkukuh kebebasan dan kuasa SPRM sebagai badan penyiasat bebas tanpa pengaruh politik serta memperkenalkan perundangan pembiayaan politik yang telus dan terkawal.

"Wajibkan pengisytiharan harta secara berkala oleh semua pemimpin dan wujudkan satu sistem audit awam yang boleh diakses rakyat.

"Kerajaan juga perlu kukuhkan sistem semak dan imbang di Parlimen termasuk memperkasakan jawatankuasa khas berkaitan integriti dan mewujudkan Mahkamah Khas Rasuah bagi mempercepatkan pendakwaan kes berprofil tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!