200,000 bunga tropika warnai Borneo Flora Festival 2025 di Labuan

KUALA LUMPUR – Borneo Flora Festival 2025 (BFF 2025) bakal berlangsung dari 26 hingga 30 Julai ini di Labuan, menampilkan lebih 200,000 bunga dan tumbuhan tropika yang akan menghiasi lebih 20 taman bertema yang direka secara kreatif dan memukau.
Festival berprestij ini diinspirasikan daripada konsep Royal Floria Putrajaya, dengan matlamat mengangkat Labuan sebagai permata pelancongan tropika di kepulauan Borneo.
Majlis Pra Pelancaran BFF 2025 telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, bertempat di Kompleks Sukan Antarabangsa Labuan pada Sabtu.
Turut hadir bagi menyatakan sokongan terhadap kerjasama pelancongan antara wilayah ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, pihak berkuasa tempatan itu turut mengambil bahagian dalam festival berkenaan bersama pelbagai agensi lain dalam usaha memeriahkan penganjuran.
"Orang ramai, khususnya warga kota, dijemput hadir ke Labuan pada bulan Julai ini bersama keluarga untuk menikmati keunikan dan kemeriahan Borneo Flora Festival 2025," menurut DBKL dalam kenyataan tersebut.
Majlis pra pelancaran itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib; dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

