Bantuan peranti elektronik RM300,000 kepada mangsa insiden Putra Heights

SHAH ALAM – Kementerian Digital menyalurkan sumbangan peranti elektronik bernilai kira-kira RM300,000 kepada mangsa tragedi letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memaklumkan, inisiatif yang diterajui bersama MyDigital Corporation dan Digital Nasional Berhad (DNB) itu bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan atau mengalami kerosakan pada peranti elektronik mereka.
"Antara yang disumbangkan termasuk 500 unit ‘power bank’, 150 unit beg sekolah dan alat tulis, 100 unit tablet, 138 unit komputer riba, empat unit mesin cetak serta pelbagai barangan lain.
"Sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil serta barisan
pengurusan tertinggi penyumbang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Menurut MDEC, sumbangan tersebut susulan lawatan Menteri Digital, Gobind Singh Deo ke PPS yang dimaklumkan, ramai mangsa kehilangan peranti elektronik seperti telefon pintar dan komputer riba ekoran kejadian berkenaan.
Peranti elektronik mendapat sumbangan antaranya daripada Payments Network Malaysia (PayNet), Kiddocare Sdn Bhd, Huawei Malaysia dan Sri Computers Sdn Bhd serta penderma persendirian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
