Hati-hati pilih bahan, banyak yang syubhah dan tidak halal

DALAM proses menjadikan sesuatu masakan atau hidangan itu halal dan suci, orang yang menyediakannya wajiblah menggunakan bahan-bahan yang halal.
Pada musim perayaan ini, kadangkala terdetik juga persoalan di hati, apakah bahan yang digunakan untuk membuat biskut raya itu menggunakan kandungan yang halal?
Jurulatih Keselamatan Makanan & Halal, Uniti Halal Centre (Uhac), Nur Hanisah Ithnin menjelaskan, apabila tiba musim perayaan, ramai yang bersemangat untuk menyediakan biskut raya dan ada juga yang membelinya di pasaran.

“Untuk menyediakan biskut raya ni, kita banyak menggunakan bahan-bahan seperti butter, whipping cream, gelatin, minyak, minyak sapi dan sebagainya bagi menyedapkannya.
“Bagaimanapun, bahan-bahan yang digunakan itu berkemungkinan tidak halal dan ada banyak keraguan jika ia tidak mempunyai sijil halal,” katanya pada program Podcast Beyond Halal bertajuk Halalan toyyiban dulu, baru raya terbitan Uhac baru-baru ini yang dihoskan Ustaz Elyas Harun.
Banyak bahan daripada babi
Menjelaskan lebih lanjut, sebagai contoh pembuatan kek dan hidangan pencuci mulut, kebanyakannya ada bahan yang syubhah atau keraguan.
“Salah satu bahan yang digunakan ialah mentega. Ia berasal daripada susu dan ada juga lemak. Kadang-kadang proses membuat mentega ini ada menggunakan lemak babi.
“Begitu juga keju. Asalnya daripada susu namun bagaimana ia menjadi kental? Ini kerana ia menggunakan enzim yang dipanggil renet.
“Kebanyakan enzim renet di dalam industri berasal daripada babi. Jadi kalau keju itu tiada sijil halal, maka kita tidak tahu asalnya daripada apa dan ia boleh menjadi syubhah,” jelas beliau.
Ujarnya, ada enzim renet itu daripada lembu namun kita juga tidak tahu lembu tersebut disembelih atau sebaliknya.
Menyambung hujah, Nur Hanisah menjelaskan, antara lain bahan yang digunakan ialah gelatin.

“Gelatin ini biasanya digunakan untuk membuat jeli, puding atau kek seperti mango cheese cake.
“Bahan ini memang susah nak dapat yang halal kerana kebiasaannya ia diperbuat daripada babi, melainkan ia ada sijil halal,” kata Nur Hanisah.
Ujarnya, gula-gula marshmellow yang disukai kanak-kanak juga mengandungi gelatin daripada haiwan.
“Pernah seorang profesor mahu menjadikan marshmellow yang menggunakan bahan halal namun menurutnya teksturnya tidak sama macam marshmellow daripada gelatin babi,” katanya.
Pewarna, perisa mengandungi alkohol
Ketika ditanya berkaitan dengan pewarna dan perasa yang digunakan, jelas Nur Hanisah, kedua-dua bahan tersebut juga mempunyai unsur syubhah kerana ia mengandungi alkohol.
“Persoalannya, kita tidak tahu apakah alkohol itu berasal daripada arak atau bukan? Kemudian ada juga pewarna yang diperbuat daripada binatang seperti serangga.
“Jika demikian, ia sememangnya tidak halal. Jadi perlu berhati-hati ketika membeli bahan-bahan ini terutamanya jika ia dibeli melalui dalam talian yang tidak mempunyai logo halal serta tidak mempamerkan bahan yang digunakan,” jelas beliau.
Hurainya, tidak semua orang faham nama bahan yang digunakan dalam sesuatu produk walaupun dipamerkan pada bungkusannya.
“Kita kena belajar untuk mengetahui perkataan yang digunakan dalam sesuatu produk itu. Sebagai contoh bahan-bahan yang mengandungi babi seperti emulsifier, gelatin dan lecithin.
“Babi sendiri pun mempunyai pelbagai nama mengikut bahagiannya seperti bacon, lard (lemak atau minyak babi), porcine dan sebagainya,” katanya.

Oleh itu katanya, umat Islam perlu berhati-hati dalam memilih bahan-bahan yang akan digunakan dalam menyediakan biskut raya atau hidangan masakan yang lain.
“Selain membaca label, kita juga perlu melihat kepada logo halal produk tersebut. Utamakan produk yang ada logo halal kerana semua proses pembuatannya telah dipastikan halal sejak dari awal lagi.
“Jika seseorang itu telah memilih produk yang mempunyai logo halal, dia telah membuat pilihan tepat untuk menghilangkan keraguannya itu,” pesannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

