Harga santan masih belum turun lagi - Peniaga

SEREMBAN – Harga santan di daerah ini masih belum menunjukkan sebarang tanda penurunan meskipun selepas sambutan Aidilfitri.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Seremban mendapati rata-rata peniaga menjual santan segar pada harga sekitar RM12 sekilogram, malah ada yang menawarkan pada harga serendah RM10 sekilogram.
Peniaga santan, D Revathi, 52, berkata, dia menjual santan pada harga RM10 sekilogram sejak Januari lalu berbanding RM7.50 sebelumnya.

“Ketika Hari Raya, saya kekalkan harga sama walaupun harga maksimum di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Aidilfitri ditetapkan RM17.50 sekilogram.
“Saya tak mahu naikkan harga kerana tak mahu kehilangan pelanggan. Sebiji kelapa pula saya jual RM4.50,” katanya ketika ditemui Jumaat.
Menurut Revathi, harga tidak akan dinaikkan selagi pembekal menawarkan harga yang munasabah.
Namun katanya, kenaikan sebelum ini berlaku berikutan musim melawas, yang dijangka kembali stabil selepas Aidiladha.
“Kalau turun pun, tak banyak. Buat masa ini saya masih boleh dapat bekalan, cuma kuantitinya agak terhad,” katanya yang sudah 30 tahun berniaga santan.

Sementara itu, Mas Hilmi Mas Huri, 38, berkata keluarganya yang sudah lebih 40 tahun dalam perniagaan tersebut menyifatkan tahun ini sebagai tempoh harga paling tinggi setakat ini.
“Sejak Oktober tahun lalu, harga sebiji kelapa naik setiap minggu, daripada RM2.40 hingga mencecah RM3.50 pada Mac dan kekal hingga sekarang.
“Ramai pelanggan mengeluh awal-awal dulu, tapi selepas laporan media, mereka mulai faham. Kami peniaga pun terpaksa naikkan harga sebab kos daripada pembekal meningkat,” katanya.
Tambahnya lagi, ketika SKHMP Aidilfitri lalu, walaupun harga maksimum santan ditetapkan RM17.50 sekilogram, dia tetap menjual pada harga RM12 sekilogram.

Justeru, dia berharap pihak berkuasa menyemak semula status bekalan kelapa dalam negara yang dilihat masih belum stabil.
“Sekarang harga masih kekal, tidak naik atau turun. Saya diberitahu bekalan tak terlalu sukar untuk diperoleh, cuma kuantitinya sedikit,” katanya.
Seorang lagi peniaga, U Mishen, 27, berkata, isu bekalan kelapa masih belum pulih sepenuhnya, malah beberapa lokasi difahamkan berdepan kesukaran mendapatkan bahan mentah itu.
“Walaupun harga dari pembekal meningkat, saya masih jual santan dan kelapa parut pada harga RM10 sekilogram dan kelapa sebiji RM3.50.
“Kalau ambil bekalan dari Perak, sekali ambil hanya dapat 8,000 biji saja berbanding sebelum ini 15,000 biji. Saya tak naikkan harga sebab tak mahu pelanggan lari,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

