Lebih 2,000 jemaah hadir sambutan Aidilfitri selepas Subuh di Masjid Muhammadi

Zulkifle (kanan) bersama Muhamad Hana Pizi (kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang menghadiri Sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Program Subuh Seperti Jumaat.
Zulkifle (kanan) bersama Muhamad Hana Pizi (kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang menghadiri Sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Program Subuh Seperti Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Masjid Jamek Muhammadi mencipta kelainan apabila menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri sejurus selepas solat Subuh, bersempena Program Subuh Seperti Jumaat pada pagi Jumaat.

Lebih 2,000 jemaah hadir memenuhi ruang masjid untuk menunaikan solat Subuh yang diimamkan oleh Imam Tua II, Nik Mohd Afif Azhan Nik Mohd Naidi.

Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, pendekatan ini adalah sebahagian usaha mendekatkan masyarakat dengan institusi masjid, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Kebiasaannya sambutan Hari Raya dibuat pada waktu siang, namun kita cuba mulakan seawal Subuh. Ini membolehkan program di masjid berlangsung lebih lama dan memberi peluang kepada lebih ramai untuk hadir,” katanya kepada pemberita selepas program.

Muhammad Hana Pizi (lima dari kiri) bersama jemputan dan ahli jawatankuasa masjid Muhammadi pada Program Solat Subuh Seperti Jumaat.
Muhammad Hana Pizi (lima dari kiri) bersama jemputan dan ahli jawatankuasa masjid Muhammadi pada Program Solat Subuh Seperti Jumaat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, Imam Tua I Masjid Jamek Muhammadi, Hairul Azizi Mokhtar dan Ahli Jawatankuasa Induk Masjid Jamek Muhammadi, Zulkifle Ab Rahman.

Menurut Hairul Azizi, masjid tersebut telah dua tahun menganjurkan Program Subuh Seperti Jumaat dan sambutannya sangat menggalakkan.

"Selain solat Subuh berjemaah, pihak masjid turut menyediakan sarapan pagi untuk jemaah, yang membantu menarik kehadiran terutama anak muda. Malah, ramai tetap hadir walaupun tiada makanan disediakan, kerana keikhlasan mereka untuk beribadah," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!