Lagak merempit cemarkan sambutan Aidilfitri

PERAYAAN Aidilfitri menjadi sangat meriah apabila masyarakat menampilkan bermacam idea kreativiti hingga ia ditularkan di media sosial.
Apa yang Merak Jalanan boleh kongsikan contohnya pemilik kediaman yang memasang pelita serta lampu kelip-kelip bagi menghidupkan suasana sambutan raya. Kita tengok pun seronok.
Namun, sedikit kecewa apabila kemeriahan Syawal ini disambut dengan aksi merempit oleh segelintir anak muda.
Ada yang ubah suai motosikal dengan menggunakan ekzos dengan bunyi 'meletup-letup'.
Merak Jalanan ada lihat beberapa rakaman video yang tular di Facebook. Sudahlah bunyi bising, lepas itu berkumpul dan saling berlawan kononnya ekzos siapa lagi hebat.
Berkumpul pula di kawasan perumahan dan kampung. Apalah yang penduduk situ rasa, kita yang tengok video itu pun rasa bingit!
Ada yang berlagak buat aksi menunggang secara berbahaya dan terbabas. Perkara macam ini yang Merak Jalanan rasakan sangat tidak berfaedah.
Tidak salah pun hendak mencantikkan motosikal, tapi berpadalah, tak salah juga hendak berkumpul beramai-ramai, memang sangat meriah, tapi jagalah keharmonian sesama.
Kita beraya ini hendak tenang-tenang, bukan hendak lihat benda yang pelik dan memalukan macam itu.
Apa yang Merak Jalanan kongsikan ini, adalah ragam yang boleh kita lihat setiap kali sambutan raya. Ada yang ramai berkumpul ramai-ramai di stesen minyak dan 'rem-rem' motosikal hingga mengganggu orang lain.
Ini hanya sekadar teguran dan diharap aktiviti sebegitu tidak dijadikan tradisi pada perayaan mendatang.
Tapi, masa sama Merak Jalanan sangat tertarik melihat video-video keluarga yang sambut perayaan dengan suasana macam dulu-dulu. Tidak berjoget-joget pelik, elok sahaja bersalaman, minta ampun dan maaf.
Sungguh beradab. Itulah budaya kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
