Rakyat Kelantan sambut baik pembinaan jambatan kembar

Rakyat Kelantan terutamanya penduduk setempat menyambut baik pembinaan jambatan kembar merentasi Sungai Golok di Rantau Panjang di antara Thailand-Malaysia yang dijangka mengambil tempoh 36 bulan untuk disiapkan. Gambar kecil dari kiri: Hamdan, Amran dan Zulkifli
Rakyat Kelantan terutamanya penduduk setempat menyambut baik pembinaan jambatan kembar merentasi Sungai Golok di Rantau Panjang di antara Thailand-Malaysia yang dijangka mengambil tempoh 36 bulan untuk disiapkan. Gambar kecil dari kiri: Hamdan, Amran dan Zulkifli
A
A
A

RANTAU PANJANG - Rakyat di negeri ini terutamanya penduduk setempat menyambut baik pembinaan jambatan kembar Thailand-Malaysia merentasi Sungai Golok di sini yang dijangka mengambil tempoh 36 bulan untuk disiapkan.

Bagaimanapun segelintir penduduk turut bimbang dengan impak kewujudan kemudahan berkenaan nanti.

Aktivis masyarakat, Hamdan Mat, 48, berkata, kemudahan itu membolehkan orang ramai berulang-alik dari sini ke negara jiran dengan lebih cepat kerana jambatan sedia ada tidak mampu menampung kesesakan lalu lintas setiap kali hujung minggu, cuti umum dan musim perayaan.

“Diharap dengan adanya jambatan kembar nanti kerajaan dapat meningkatkan kemudahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dengan menggunakan sistem yang lebih canggih agar kesesakan dapat dielakkan selain mengetatkan keselamatan.

“Kalau dilihat sekarang, pemeriksaan sedikit longga jadi kami harap kerajaan dapat tiru sistem kawalan yang diguna di negara Arab serta Singapura untuk banteras penyeludupan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pesara swasta, Amran Abdul Rahman, 60, memberitahu, di sebalik sambutan baik pembinaan jambatan kembar tersebut terselit kebimbangan terhadap ekonomi semasa penduduk terutama melibatkan peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

Menurutnya, kebanyakan barangan yang dijual dari Thailand dan jika dilihat sekarang penduduk tempatan lebih suka ke negara jiran berbanding berbelanja di sini.

Ujarnya, tidak mustahil dengan adanya kemudahan itu nanti akan menggalakkan lagi rakyat ke sana dan menguburkan perniagaan di sini.

“Kalau dilihat, kita masih gagal menarik minat orang Thailand untuk melancong di sini. Tengok sahaja setiap kali cuti musim perayaan, orang kita bersesak di pintu masuk ICQS untuk ke sana.

Artikel Berkaitan:

“Jadi diharap dengan adanya jambatan kembar kerajaan negeri mahupun Pusat dapat naik taraf kemudahan pelancongan yang ada terutama Zon Bebas Cukai Rantau Panjang serta jalan raya Rantau Panjang ke Tunjong, Kota Bharu di mana berpusatnya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” tambahnya.

Bagi ejen pelancongan, Zulkifli Hashim, 37, pula, pembinaan projek itu satu langkah baik kerana dapat mengurangkan masa menunggu setiap kali memasuki sempadan.

Dia memberitahu, setiap kali membawa masuk pelancong ke sana mereka perlu menghabiskan masa sekitar dua hingga tiga jam kerana kesesakan melampau terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

“Jambatan sedia ada semakin sempit dan dengan adanya yang baharu akan memudahkan serta menjimatkan masa kami," katanya.

Terdahulu, Kabinet Thailand meluluskan pembinaan sebuah jambatan kembar merentasi Sungai Golok yang akan menghubungkan Daerah Sungai Kolok di wilayah Narathiwat dengan Rantau Panjang di Kelantan.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand, Anukul Prueksanusak memaklumkan, Jabatan Lebuhraya Thailand diberikan kuasa untuk melaksanakan projek itu yang dianggarkan bernilai 292.65 juta baht (RM37.83) dan dijangka mengambil tempoh 36 bulan untuk disiapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!