PATI China cuba masuk Malaysia ditahan di Sungai Golok

KOTA BHARU - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China ditahan ketika cuba memasuki Malaysia melalui Sungai Golok pada Jumaat.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) melalui kenyataan memaklumkan lelaki itu menaiki bot dan berhenti di sebuah jeti haram berhampiran kawasan hutan di sebelah Malaysia kira-kira jam 10.30 malam.
Kenyataan itu memberitahu, pemeriksaan ke atas lelaki berusia 38 tahun mendapati dokumen peribadi iaitu kad pengenalan dan pasport negara China miliknya masih sah laku.
"Lelaki itu mendakwa membayar sejumlah wang kepada ejen yang menjanjikan peluang pekerjaan di Malaysia," kata kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu turut menyebut, nilai keseluruhan barangan peribadi milik lelaki berkenaan termasuk mata wang negara China dan Thailand yang ditemui dianggarkan RM13,900.55.
"PATI itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut," katanya.
Berdasarkan rekod, tangkapan terakhir PATI dari negara China oleh pasukan operasi ialah pada tahun 2023.
Pasukan operasi Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan PATI.
TDM tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
