'Kelaparan akan membunuh kami'

Penduduk Palestin terpaksa bergantung dengan makanan yang diberikan dapur kecemasan.
Penduduk Palestin terpaksa bergantung dengan makanan yang diberikan dapur kecemasan.
A
A
A

RWEHAB Akhras bersama keluarganya masih terselamat daripada kempen pengeboman yang dilancarkan semula ke atas Genting Gaza pada bulan lalu.

Tetapi, tindakan Israel menyekat akses bantuan kemanusiaan ke wilayah itu mungkin akan meragut nyawa mereka.

Sekatan ke atas penghantaran bantuan itu telah berlarutan selama enam minggu hingga menjejaskan agihan bantuan makanan, penutupan kedai roti dan pasar menjadi lengang kerana tiada lagi bekalan makanan untuk dijual.

Di 'bandar khemah' yang sesak di Khan Yunis, selatan Gaza yang menjadi tempat berlindung Akhras, 64, sekeluarga, dia menggunakan kadbod untuk menghidupkan api dan merebus kacang dalam tin yang menjadi satu-satunya makanan yang tinggal buat mereka.

“Ia untuk mengisi perut 13 ahli keluarga saya. Kami dapat bertahan untuk hidup hingga kini meskipun terpaksa menghadapi hujan bom Zionis hampir setiap hari. Tetapi tidak mustahil kami akan mati kelaparan,” katanya.

Seorang kanak-kanak Palestin membawa makanan untuk keluarganya.
Seorang kanak-kanak Palestin membawa makanan untuk keluarganya.

Di Nuseirat, ratusan penduduk Palestin termasuk kanak-kanak bersesak-sesak untuk mendapatkan makanan diagihkan dapur kecemasan.

Agensi antarabangsa memberi amaran bantuan itu mungkin terpaksa dihentikan dalam masa terdekat jika Zionis terus menyekat akses penghantaran bekalan.

Sebelum ini, Program Makanan Sedunia (WFP) membekalkan roti untuk 25 bakeri di seluruh wilayah itu yang kini terpaksa menutup operasi.

Artikel Berkaitan:

Susulan bekalan yang semakin berkurangan, WFP mempertimbangkan langkah mencatu agihan bantuan makanan kepada penduduk Palestin.

“Kesemua bekalan asas sudah kehabisan. Harga komoditi telah melambung tinggi sejak bulan lalu.

“Hal ini menyebabkan bayi dan kanak-kanak terpaksa tidur dalam kelaparan. Krisis kebuluran di Gaza semakin membimbangkan,” kata jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Juliette Touma.

Bekalan makin habis

Kebimbangan sama disuarakan Pengurus Akses untuk Majlis Pelarian Norway di Deir al-Balah, Gavin Kelleher.

Menurutnya, baki bekalan makanan yang tinggal digunakan untuk penyediaan masakan panas untuk diagihkan.

Badan amal perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mendedahkan golongan yang paling berisiko tinggi ialah kanak-kanak dan wanita hamil serta ibu yang masih menyusukan bayi kerana mengalami malnutrisi yang teruk.

Israel cuba berdolak-dalik dan menafikan krisis kebuluran sedang melanda Gaza malah menuding jari menyalahkan Hamas yang kononnya cuba mengeksploitasi bantuan.

Kesengsaraan penduduk Gaza yang berlarutan selama lebih 17 bulan sudah terbukti dengan jelas meskipun Zionis cuba memutar-belitkan hal sebenar.

Neama Farjalla bersama anaknya sanggup menggadai nyawa merentasi zon tempur dari dapur kecemasan ke dapur kecemasan lain pada setiap hari demi mendapatkan semangkuk nasi.

“Kelaparan yang sebenarnya akan membunuh kami,” katanya dalam nada sebak. - Agensi

Info:

>Harga seguni tepung bersamaan 25 kilogram yang sebelum ini dijual pada harga AS$6 (RM27) telah meningkat 10 kali ganda.

>Seliter minyak masak yang dijual AS$1.50 (RM6.70) melonjak kepada AS$10 (RM45).

>Harga sardin tin pula mencecah AS$5 (RM22).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!