Bekalan makanan di Gaza semakin susut - Mapim

SUNGAI PETANI - Petugas Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Gaza merayu keprihatinan dunia berhubung nasib rakyat di negara itu yang berdepan kekurangan bekalan makanan.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu disuarakan petugas pertubuhan berkenaan yang menjelaskan situasi sebenar di lapangan ketika ini.
"Biarpun selepas petugas kami seramai lapan orang telah terbunuh, hanya tinggal beberapa orang petugas, namun kami masih meneruskan bantuan makanan dah masak tetapi makin berkurangan sebab sumber bekalan nak habis, nak bawa masuk tak boleh.
"Petugas kita lapor, kalau makanan tak masuk, mereka dah tiada makanan untuk dimasak," katanya ketika ditemui di Pejabat Mapim, Baitul Ummah, Penghulu Him di sini pada Khamis.
Jelas Mohd Azmi, bekalan makanan yang dijual di kedai-kedai juga semakin berkurangan selain harganya melambung tinggi.
Beliau berkata, terdapat lima lagi petugas Mapim yang merupakan penduduk Gaza masih meneruskan tugas menggerakkan bantuan kepada rakyat tempatan.
Menceritakan situasi terkini, Mohd Azmi berkata, setakat ini, pihaknya masih menunggu isyarat daripada Mesir untuk mengadakan rundingan dengan Israel bagi membolehkan sempadan dibuka dan bekalan kemanusiaan dihantar.
Jelas beliau, kira-kira 100 buah kontena berisi bekalan makanan dan keperluan penduduk Gaza sedang menunggu kebenaran untuk memasuki sempadan pada bila-bila masa.
"Sekarang bantuan kemanusian dah menunggu di Mesir, hanya menunggu isyarat dan 'mood standby', bila-bila masa saja tunggu bila boleh datang, akan gerakkan bantuan... bawa makanan dan khemah untuk penempatan sementara," katanya.
Jelas beliau, apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah membawa masuk bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

