Warga emas rugi lebih RM400,000 ditipu sindiket menyamar polis

Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM439,444 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis. Foto hiasan
Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM439,444 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis. Foto hiasan
A
A
A

KULAI - Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM439,444 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dalam kejadian pada Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8 April selepas mangsa berusia 62 tahun itu menyedari telah ditipu dan tampil membuat aduan.

"Kejadian bermula pada 20 Januari apabila mangsa yang juga suri rumah dihubungi oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Fatihah' dari Balai Polis Bintulu, Sarawak.

“Suspek mendakwa nombor telefon mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai 'Inspektor Hafiz' dari Bukit Aman.

“Mangsa diarahkan untuk menyerahkan semua maklumat dan aset miliknya kepada ‘Bank Negara’ kononnya untuk tujuan siasatan dan membersihkan namanya daripada sebarang kaitan dengan kes jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, pada 24 Januari, mangsa menerima satu lagi panggilan yang didakwa milik 'Inspektor Hafiz' dan diarahkan supaya meletakkan kad ATM miliknya di luar pagar rumah.

Ujarnya, suspek turut mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang daripada akaun bank dan memindahkannya ke dua akaun baharu atas nama mangsa sendiri yang dibuka mengikut arahan sindiket.

“Beberapa hari kemudian, anak mangsa membuat semakan dan mendapati keseluruhan wang telah dipindahkan dan kemudiannya dikeluarkan oleh individu tidak dikenali.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!