UPTM perlu dilengkapi Smart Classroom, penuhi keperluan pembelajaran terkini

Ahmad Zahid (empat, kiri) menyaksikan pertukaran MoU yang diwakili Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman (tiga, kiri) dengan Ketua Pegawai Penguatkuasa SKMM, Eneng Faridah Iskandar (tiga, kanan) pada Majlis Amazing Syawal UPTM pada Khamis. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Zahid (empat, kiri) menyaksikan pertukaran MoU yang diwakili Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman (tiga, kiri) dengan Ketua Pegawai Penguatkuasa SKMM, Eneng Faridah Iskandar (tiga, kanan) pada Majlis Amazing Syawal UPTM pada Khamis. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) disaran melengkapkan semua bilik kuliah dengan panel kecerdasan interaktif bagi merealisasikan konsep Smart Classroom sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemudahan itu perlu disediakan di setiap bilik kuliah dengan capaian internet berkelajuan tinggi serta fasiliti pembelajaran bertaraf dunia bagi menampung keperluan pendidikan semasa.

“Saya ingin melihat UPTM dilengkapi sepenuhnya dengan Smart Classroom, yang merangkumi panel kecerdasan interaktif dan fasiliti state-of-the-art untuk memenuhi keperluan pembelajaran terkini,” katanya ketika berucap pada Majlis Amazing Syawal UPTM di sini, pada Khamis.

Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan memperluaskan kampus UPTM di sekitar Lembah Klang bagi menampung peningkatan permintaan terhadap program pengajiannya, selain menjadi pilihan utama pelajar tempatan dan antarabangsa.

“UPTM perlu diberi keutamaan untuk menempatkan lebih ramai pelajar termasuk dari Sabah dan Sarawak demi memperkukuh agenda pembangunan insan dalam kalangan bumiputera,” katanya.

Tambah beliau, UPTM disaran menjadi universiti pilihan nasional dan global dalam bidang profesional, sains sosial, pendidikan serta teknologi termasuk kepintaran buatan (AI).

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi menyelesaikan masalah capaian internet di institusi pengajian tinggi (IPT) bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menurutnya, sebanyak RM150 juta akan disalurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), manakala baki RM50 juta bagi menyegerakan penyelesaian isu tersebut.

“Saya berpandangan RM150 juta tidak mencukupi. Maka, saya minta tambahan RM50 juta lagi supaya masalah internet di IPT Mara dapat diselesaikan segera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fahmi turut memaklumkan bahawa kempen Internet Selamat akan digerakkan bagi memastikan capaian internet di IPT tidak disalah guna, khususnya dalam menangani gejala sosial dalam kalangan anak muda.

Dalam majlis sama, SKMM turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 11 institut pengajian Mara bagi memperkukuh kerjasama strategik dan meningkatkan kualiti capaian internet di semua institusi berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!