Pelaksanaan Skim Insurans Berkelompok perlu diperinci - UMNO Sabah

Kira-kira 3.5 juta penduduk Sabah bakal menikmati perlindungan insurans secara percuma menerusi Skim Insurans Berkelompok. Gambar kecil: Suhaimi
Kira-kira 3.5 juta penduduk Sabah bakal menikmati perlindungan insurans secara percuma menerusi Skim Insurans Berkelompok. Gambar kecil: Suhaimi
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Skim Insurans Berkelompok yang diperkenalkan kerajaan negeri Sabah perlu diperincikan termasuk mekanisme pengurusan, sumber pembiayaan dan indikator kejayaan yang jelas.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, pihaknya menghargai usaha kerajaan negeri dalam memperkenalkan skim berkenaan bagi memberikan perlindungan insurans kemalangan percuma kepada rakyat di negeri itu.

Menurut beliau, langkah itu pada dasarnya mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

“Namun demikian, daripada sudut dasar awam dan pengurusan fiskal, pelaksanaan skim ini wajar dinilai secara strategik dan teliti agar matlamatnya dapat dicapai secara mampan dan menyeluruh.

“Pertamanya, tempoh pelaksanaan skim yang hanya meliputi tiga tahun (1 Mei 2025 hingga 30 April 2028) menimbulkan persoalan mengenai kesinambungan dasar ini dalam jangka panjang.

“Tanpa perancangan lanjutan atau kerangka dasar yang lebih luas, inisiatif seperti ini berisiko menjadi dasar sementara yang tidak memberikan kesan berpanjangan terhadap kesejahteraan sosial,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Kira-kira 3.5 juta penduduk di Sabah bakal menikmati perlindungan insurans secara percuma menerusi Skim Insurans Berkelompok yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, skim perlindungan kemalangan itu akan diberikan kepada individu yang layak bagi tempoh tiga tahun sebagai permulaan dan akan bermula pada 1 Mei 2025.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, pemilihan Progressive Insurance Bhd iaitu syarikat milik kerajaan negeri yang berfungsi sebagai pelaksana utama juga perlu dilihat daripada sudut tadbir urus yang baik.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, penjelasan mengenai proses pelantikan, sama ada melalui tender terbuka atau rundingan terus adalah penting untuk memastikan akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan dana awam.

“Selain itu, mekanisme pemantauan prestasi pelaksanaan juga belum dijelaskan secara terperinci. Keberkesanan skim ini bergantung kepada keupayaan sistem pentadbiran untuk mengendalikan tuntutan secara cekap, telus dan mesra rakyat.

“Ketiadaan sistem pemantauan yang jelas berpotensi mengurangkan tahap kepercayaan rakyat terhadap skim ini. Daripada aspek perlindungan, jumlah pampasan RM10,000 dan khairat kematian RM500 dilihat tidak mencukupi dalam konteks kos kehidupan masa kini, terutamanya bagi keluarga yang berdepan kehilangan pencari nafkah.

“Ini menuntut penilaian semula agar jumlah perlindungan lebih relevan dengan keperluan semasa. Aspek pelaksanaan juga memerlukan perhatian, terutamanya berkenaan kaedah pelaksanaan secara ‘automatik’,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanpa penjelasan yang jelas mengenai data penduduk, melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kesihatan atau agensi lain, risiko pertindihan data, pembaziran dan keciciran penerima berkemungkinan besar berlaku.

“Ia boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan skim ini...yang paling utama ialah aspek fiskal. Menanggung kos premium untuk 3.5 juta penduduk pastinya memerlukan komitmen kewangan yang besar.

“Sekiranya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, adalah penting untuk mengetahui bagaimana ia akan memberi kesan kepada peruntukan sektor lain seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur luar bandar.

“Keupayaan kewangan jangka panjang kerajaan negeri juga perlu dinilai secara berhati-hati, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan hasil negeri,” tambah Suhaimi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!