3.5 juta rakyat Sabah bakal nikmati perlindungan insurans secara percuma

Masidi.
Masidi.
A
A
A

KOTA KINABALU – Kira-kira 3.5 juta penduduk di Sabah bakal menikmati perlindungan insurans secara percuma menerusi Skim Insurans Berkelompok yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, skim perlindungan kemalangan itu akan diberikan kepada individu yang layak bagi tempoh tiga tahun sebagai permulaan dan akan bermula pada 1 Mei 2025.

“Perlindungan insurans ini akan dilaksanakan melalui syarikat milik kerajaan negeri, Progressive Insurance Bhd, di mana kira-kira 3.5 juta penduduk Sabah berumur antara satu bulan hingga 80 tahun akan menerima perlindungan insurans diri secara automatik dan percuma bernilai sehingga RM10,000, berserta faedah khairat kematian sebanyak RM500.

“Sebagai permulaan, skim perlindungan ini akan berkuat kuasa selama tiga tahun iaitu dari 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028.

“Melalui proses tuntutan insurans yang cekap, sebarang pembayaran akan disalurkan kepada penerima dalam tempoh 14 hingga 30 hari selepas dokumen lengkap dikemukakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, skim insurans tersebut merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri Sabah dalam usaha menjaga kebajikan rakyat.

“Selain itu, ia juga bertujuan mengurangkan beban kewangan rakyat, khususnya dalam kalangan kumpulan B40,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!