Mangsa sukar dapat rumah sewa, pemilik kenakan deposit tinggi - Saifuddin

SUBANG JAYA - Mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights baru-baru ini didakwa sukar mendapatkan kediaman sementara untuk disewa berikutan bayaran deposit dua hingga tiga bulan yang dikenakan pemilik rumah.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas melawat mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini pada Khamis.
Beliau berkata, ia menyukarkan urusan mangsa mendapatkan kediaman untuk disewa walaupun pelbagai inisiatif dan bantuan segera telah diberikan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Walaupun banyak inisiatif yang telah diberikan misalnya tawaran mencari alternatif tempat tinggal dan dibiayai dalam tempoh enam bulan tetapi sebahagian daripada mereka bila jumpa tempat, tuan rumah pula mengenakan deposit sampai dua atau tiga bulan.
“Mereka sedang ditimpa ujian, kerajaan Selangor menawarkan bantuan segera tetapi tuan rumah pula masih mengekalkan urusan biasa yang menyulitkan keadaan mereka,” katanya ketika ditemui di sini.
Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman.
Sebelum ini dilaporkan, Selangor akan menampung kos sewaan rumah 613 keluarga yang terlibat dengan insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini dengan jumlah keseluruhan bernilai RM7.356 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada setiap pemilik dan penyewa rumah yang terjejas selama tempoh enam bulan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, masih terdapat 361 mangsa daripada 95 keluarga yang masih ditempatkan di PPS tersebut.
“Asalnya cuma ada 86 keluarga tetapi ada pertambahan menjadi 95 kerana sudah ada PPS yang ditutup. Ada juga yang memohon untuk keluar kerana mempunyai tempat tinggal alternatif.
“Nama pun PPS, jadi sifatnya sementara sehingga pilihan tempat tinggal dapat diselesaikan. Tumpuan kita pada mereka yang menduduki premis ini, maka seluruh agensi kerajaan menggembleng tenaga untuk memastikan mereka berada dalam keadaan yang lebih kondusif setelah ujian menimpa.
"Apabila saya berjumpa sendiri dengan keluarga mangsa, sebahagian anak-anak mereka masih trauma walaupun insiden ini sudah berapa hari berlaku. Ini pentingnya bukan aspek makan minum dan tempat tinggal sahaja tetapi kesan terhadap mental dan psikologi,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak 443 urus niaga dan 291 khidmat nasihat dilaksanakan kaunter bergerak bas Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di PPS yang menempatkan mangsa terbabit.
Jumlah itu termasuk 172 gantian kad pengenalan, 249 sijil kelahiran, sembilan kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid), tujuh sijil perkahwinan dan masing-masing dua cetakan kandungan cip serta sijil anak angkat.
Selain itu, terdapat juga masing-masing satu sijil kematian dan sijil warganegara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
