Remaja dijel sebulan, denda RM5,000 buang mayat bayi dalam tandas stesen minyak

Tertuduh (kiri) diiringi polis tiba di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Khamis.
Tertuduh (kiri) diiringi polis tiba di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM – [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran bayi dengan membuang mayat ke dalam tandas.

Tertuduh yang berusia 18 tahun itu membuat pengakuan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa menyembunyikan kelahiran bayi secara rahsia dengan membuang mayat ke dalam tandas wanita di Stesen Minyak Petronas, Kampung Sungai Haji Dorani, kira-kira jam 11 pagi pada 23 Mac lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada tarikh yang sama, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi dalam tandas wanita di stesen minyak terbabit.

Hasil semakan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan siasatan mendapati terdapat dua wanita, dan salah seorang daripadanya mengandung menaiki kereta Perodua Bezza di stesen minyak terbabit.

Berdasarkan pengakuan tertuduh, dia mengaku tidak tahu dirinya mengandung dan hanya merasa sakit seperti senggugut. Semasa di tandas stesen minyak, bayi tersebut tiba-tiba keluar dan jatuh ke dalam lubang tandas.

Tertuduh memaklumkan bahawa punca dia mengandung adalah kerana dirogol lelaki yang baru dikenali, tetapi tidak melaporkan kepada sesiapa kerana takut.

Polis kemudiannya menahan tertuduh di Meru, Klang bagi membantu siasatan dua hari selepas kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBG), Muhd Muqri Mohd Khairi merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan tertuduh masih disara ibunya yang berpendapatan rendah.

"Saya memohon mahkamah mengambil kira usia tertuduh yang baru menjejak usia dewasa dan ini merupakan kejadian kali pertama selain tidak dapat berfikir secara waras.

"Hukuman ringan mungkin dalam bentuk denda yang dikenakan dapat menjadikan tertuduh menjadi insan yang lebih baik pada masa depan," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana perbuatan itu disifatkan menyayat hati dan sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Majistret, Siti Hajar Ali kemudiannya memutuskan, tertuduh dipenjara selama sebulan dari tarikh sabitan pada Khamis dan didenda RM5,000 atau lima bulan penjara jika gagal berbuat demikian.

"Hukuman ini dianggap memadai setelah mengambil kira semua faktor termasuk umur tertuduh yang masih muda, kesalahan pertama, dan rasa kesal tertuduh.

"Mahkamah tidak mengetepikan kepentingan awam dalam membuat keputusan, namun pada masa sama tidak mengabaikan kebajikan tertuduh, dengan harapan hukuman ini menjadi pengajaran kepada rakan sebaya yang lain," tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!