Dua beradik ditahan hantar mayat bayi baru lahir ke 'baby hatch'

Seorang wanita ditahan kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan menghantar mayat bayi baru lahir dan masih bertali pusat ke Pusat Perlindungan Bayi di sebuah hospital swasta di Kuantan, pada Isnin. (Gambar kecil: Wan Mohd Zahari) Gambar hiasan
Seorang wanita ditahan kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan menghantar mayat bayi baru lahir dan masih bertali pusat ke Pusat Perlindungan Bayi di sebuah hospital swasta di Kuantan, pada Isnin. (Gambar kecil: Wan Mohd Zahari) Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita ditahan kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan menghantar mayat bayi baru lahir dan masih bertali pusat ke Pusat Perlindungan Bayi di sebuah hospital swasta di sini, pada Isnin.

Wanita berusia 24 tahun itu ditahan jam 9.50 pagi ketika berada di sebuah rumah di Kampung Jawa, Kuala Rompin, Rompin pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, turut ditahan wanita berusia 25 tahun yang juga kakak suspek kerana disyaki membantu menghantarnya ke hospital berkenaan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Cawangan Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D1) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Pahang dibantu anggota dari IPD Rompin telah pergi ke sebuah rumah di Kampung Jawa Kuala Rompin.

"Suspek ditemui berada di rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan di dalam bilik tidurnya, pihak polis menemui plastik tertera tulisan ubat terkawal mengandungi tiga peket plastik berisi pil disyaki ubat yang digunakan untuk memaksa kelahiran.

"Semua ubatan itu dan sebuah telefon dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, suspek yang tidak bekerja ditahan reman hingga 13 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan.

Sementara itu katanya, susulan penahanan suspek, polis turun menahan kakaknya bersama semua kereta jenis Nissan Almera di pekarangan IPD Rompin kira-kira jam 3 petang hari berkenaan.

"Siasatan awal mendapati wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu telah membantu menghantar suspek dan bayi ke hospital dengan menaiki kereta tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan, polis mengesan individu disyaki menghantar mayat bayi baru lahir dan masih bertali pusat ke Pusat Perlindungan Bayi sebuah hospital swasta di sini, pada petang Isnin.

Wan Mohd Zahari sebelum ini berkata, jururawat yang bertugas mendengar penggera berbunyi jam 2.45 petang sebelum menemui bayi perempuan ditinggalkan di pusat itu dalam keadaan tidak bernyawa.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat manakala mayat bayi berkenaan dihantar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!