Dendam kumpulan kongsi gelap punca lelaki ditembak mati di kedai makan

JOHOR BAHRU - Dendam antara dua kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi punca seorang lelaki ditembak mati di sebuah kedai makan di Taman Setia Indah, di sini dalam kejadian pada 8 Januari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mangsa berusia 40 tahun dipercayai ahli kongsi gelap ditembak pada jarak dekat dengan empat das tembakan.
"Susulan kejadian itu, satu pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bukit Aman ditubuhkan bagi mengesan suspek.
“Hasil risikan dan operasi yang dijalankan bermula 8 Januari hingga 17 Mac, polis Johor telah melakukan beberapa siri serbuan dan tangkapan di sekitar Johor Bahru,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Menurut Kumar, pada 8 Mac lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor menembak mati seorang lelaki berusia 64 tahun dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek.
“Suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis menyebabkan pihak kami terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
“Dalam kejadian itu, polis merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson, empat butir peluru hidup serta dua kelongsong peluru yang ditemui di lokasi,” ujarnya.
Tambah Kumar, pada hari sama, polis berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 48 hingga 66 tahun di sebuah rumah di Jalan Ah Siang antara jam 5 hingga 6 pagi.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas satu peket lut sinar dan tiga keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis heroin, satu keratan aluminium disyaki alat menghisap dadah, satu alat penimbang digital dan sepucuk pistol angin jenama Austria,” katanya.
Menurut Kumar, pada 17 Mac, tiga lagi lelaki tempatan berusia 36 hingga 62 tahun ditahan di Jalan Bukit Meldrum antara jam 9.45 pagi hingga 1 petang.
“Kali ini, polis merampas sepucuk pistol semi auto jenis Sig Sauer P228 bersama dua kelopak peluru yang mengandungi 15 butir peluru PMC 9MM Luger.
"Hasil siasatan mendapati, kelongsong dan anak peluru yang ditemui pada mangsa bunuh di Taman Setia Indah ditembak menggunakan pistol sama yang dirampas," katanya.
Jelas beliau, secara keseluruhan, sembilan lelaki ditahan, tiga pucuk senjata api dan 19 butir peluru hidup dirampas dalam operasi khas ini.
"Dua daripada pistol itu adalah asli, manakala pistol angin yang ditemui adalah tiruan dan dipercayai diperoleh dari luar negara.
"Semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah. Mereka direman sehingga 30 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), Seksyen 8(a) Akta Senjata Api, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kertas siasatan sudah dilengkapkan, namun polis tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

