Kebakaran Putra Heights: 190 rumah diduduki semula

SUBANG JAYA - Sebanyak 190 rumah yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini telah diduduki semula.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 12 agensi sahabat teknikal termasuk pasukan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan kerja-kerja siasatan, pemulihan dan penilaian di kawasan terjejas.
Katanya, antara agensi lain yang terlibat ialah Petronas, Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), Air Selangor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Indah Water, Telekom Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Perumahan Negara Sdn Bhd, dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Setakat ini (Rabu), sebanyak 487 rumah yang terjejas telah diperiksa.
"Daripada jumlah itu, 328 buah rumah dibenarkan untuk dimasuki semula, manakala 190 buah rumah telah pun diduduki," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambahnya, sebanyak 306 rumah yang terjejas telah dibekalkan semula dengan bekalan elektrik oleh pihak TNB.
Hussein berkata, pihaknya turut menerima sebanyak 741 laporan polis berkaitan insiden berkenaan.

Menurutnya, Op Gas yang memasuki hari kesembilan pada Rabu dilaksanakan dengan kekuatan 697 anggota daripada 18 agensi.
"Kekuatan PDRM termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) ialah seramai 169 orang.
"Pihak PGA masih menjalankan kawalan keselamatan 24 jam di kawasan yang terjejas bagi memastikan harta benda mangsa yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat," ujarnya.
Insiden pada 1 April lalu itu mengakibatkan kerosakan rumah dianggarkan berjumlah RM65.4 juta termasuk kos pendawaian.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan bahawa tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semasa kejadian telah berjaya menyelamatkan aset bernilai lebih RM285.9 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
