Kebakaran Putra Heights: Mangsa masih runsing, trauma

SUBANG JAYA - Penduduk kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya di sini masih dilanda kebingungan dan kerunsingan berikutan tragedi letupan paip gas bawah tanah yang berlaku pada hari kedua Aidilfitri, 1 April lalu.
Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, kebanyakan mangsa masih tercari-cari arah, terutama apabila memikirkan tentang keperluan asas dan kelangsungan hidup selepas insiden memusnahkan rumah dan harta benda mereka.
“Antara yang menjadi kerisauan mereka seperti di mana mereka akan tinggal, nak cari rumah sewa yang sesuai untuk anak dan ada yang risau mengenai situasi ibu bapa yang masih di hospital.
“Ada juga anak-anak yang masih trauma dan susah hati akibat ketiadaan barangan keperluan yang mana memang perkara biasa untuk bencana seperti ini,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat mangsa di PPS Masjid Putra Heights, di sini pada Rabu.
Beliau turut menekankan pentingnya sokongan berterusan daripada semua agensi kerajaan, bukan sahaja dalam aspek bantuan segera tetapi juga dari segi pelan jangka panjang untuk memulihkan kehidupan mangsa.
“Ketika ini saya lihat ada kerjasama yang baik antara agensi kerajaan dalam memberi bantuan jangka pendek seperti penyediaan infrastruktur, dokumentasi dan sokongan awal yang diperlukan oleh mangsa.
“Namun, apa yang lebih penting adalah kesinambungan kerjasama itu untuk jangka masa panjang. Bantuan jangka pendek penting, tetapi bantuan jangka panjang juga sama pentingnya dan bagaimana mereka boleh membina semula kehidupan selepas kehilangan segalanya,” jelas beliau.
Tunku Puteri turut berkongsi bahawa pada masa ini, BSMM hanya mampu menyalurkan bantuan dari segi barangan keperluan dan sokongan sukarelawan, namun mengharapkan agar usaha menyeluruh dapat digerakkan bagi membantu mangsa pulih secara menyeluruh, termasuk dari segi tempat tinggal, pendapatan dan kestabilan emosi.
Terdahulu petugas BSMM telah digerakkan ke lokasi sejurus kejadian kebakaran paip gas itu berlaku bagi membantu penduduk yang terkesan akibat kebakaran besar dicetuskan oleh letupan paip gas berkenaan 1 April lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

